Isnin, 19 April 2010

"Minum Arak Cerita Lama," Kata Zaid Ibrahim

HULU SELANGOR, 18 April (Bernama) -- Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim berkata dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.

"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah S.W.T.

"Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen dari rumah ke rumah di Kerling di sini.

Zaid berkata apa yang membezakan antara beliau dengan pemimpin lain ialah beliau tidak bersikap hipokrit.

"Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menang lah, kalau tak layak, tak layaklah," katanya.

Zaid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beliau adalah seorang kaki botol tegar seperti dilaporkan oleh beberapa blog.

Pada pilihan raya kecil 25 April ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zaid, calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dan dua calon Bebas iaitu V.S. Chandran dan Johan Md Diah.

Kerusi Parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: