Sabtu, 17 April 2010

Media, Kerajaan Perlu Akrab: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan media perlu menjadi rakan karib dalam usaha membangunkan negara demi menjamin kesejahteraan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, mana-mana kerajaan sekali pun memerlukan sokongan media tidak kira masa senang atau susah.

"Saya tidak meminta saudara memuji-muji atau mengampu kerajaan atau menyembunyikan kebenaran.

"Saya cuma mengharapkan kita menjadi rakan yang akrab dalam pembangunan bagi menjamin kesejahteraan Malaysia," katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2010 di sini, malam tadi.

Muhyiddin yakin sikap saling percaya mempercayai antara kerajaan dan wartawan yang sedia ada akan meningkatkan kesefahaman antara kedua-dua pihak sekali gus akan memberi impak positif kepada rakyat Malaysia.

Katanya, wartawan juga harus bersedia menjadi mata dan telinga kepada pihak-pihak lain termasuk ahli-ahli perniagaan, pentadbir dan pemimpin.

"Saya berpegang kepada pendirian bahawa tiada demokrasi tanpa media. Bahawa industri media begitu subur pertumbuhannya di Malaysia menunjukkan nilai-nilai tinggi demokrasi di negara ini," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, nilai-nilai dan identiti Malaysia perlu mendasari cara kerja media di negara ini.

Beliau mengingatkan bagaimana media memainkan peranan dalam membentuk persepsi rakyat Malaysia dan cara dunia melihat Malaysia.

"Bantulah minimumkan kebencian, pertelagahan dan prejudis. Malah lebih murni lagi sekiranya sikap serta perasaan negatif tersebut ditiadakan. Maksimumkan hujah berasas, dialog dan keharmonian.

"Minimumkan media yang sombong, tidak sensitif, tidak tepat, bias yang keterlaluan dan sensasi yang tidak berhemah. Tolonglah kerajaan memaksimumkan apa yang baik untuk negara kita," katanya.

(dipetik dari http://mstar.com.my/)

Tiada ulasan: