Sabtu, 24 April 2010

Jangan bertangguh kerja


GENTING HIGHLANDS : Pergerakan Pemuda Umno diseru tidak bertangguh kerja jika mahu melihat parti menjadi semakin kuat, menarik sokongan muda dan memenangi pilihan raya.
“Kerja bertangguh tidak akan menjadi.”
Ketua Pengarang Suara Perkasa, Daud Haji Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno dan ketua-ketua Pemuda Cawangan dalam bahagian Sembrong di Hotel Seri Malaysia, Jumaat 23 April lalu.
Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sembrong yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Sembrong, Ariffin Nan.
Menurut Daud, zaman sudah berubah. Pemuda Umno jangan sibuk dengan cerita pertandingan bolasepak, futsal dan zapin kerana ketika saat-saat kritikal akibat tsunami politik 2008, pergerakan ini perlu memberi komitmen yang lebih serius kepada merasai denyut nadi rakyat.Mainkan peranan masing-masing. Jangan bertangguh kerja. Kurangkan bercakap. Dengar dan ambil tahu masalah rakyat. Buat kerja menambahkan ahli dan pendaftaran pengundi.
“Walaupun Johor dikenali sebagai kubu kuat Umno tetapi ia bukan jaminan BN tidak boleh kalah di Johor jika semua ahlli parti dan pemimpin cawangan seronok dan selesa dengan keadaan yang ada,” katanya.
Menurut Daud lagi, jadilah orang yang tahu mengenang budi kerajaan walaupun kita tidak pernah merasakan budi yang kerajaan bagi kepada kita.
“Biasalah. Kita hanya tahu mengenang budi orang bila orang itu sudah tiada. Walaupun kita banyak termakan budi tetapi kita tidak pernah mahu mengenangnya dan jauh sekali mahu membalas budi.
“Sejak kita dilahirkan sebenarnya kita sudah menerima busi dari kerajaan. Kita dilahirkan di hospital kerajaan, bersekolah di sekolah kerajaan dan menggunakan jalan raya dan pelbagai kemudahan yang kerajaan bina tetapi kita sering bercakap apakah yang kerajaan bagi kepada kita selama ini,” tegasnya.
Bahagian Sembrong di Ketua Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden Umno. Beliau juga adalah Ahli Parlimen Sembrong.
Kata Daud lagi, pemimpin-pemimpin Pemuda di cawangan hendalah ikhlas menjalankan kerja-kerja parti, bertolak ansur, tolong menolong, sayangi menyayangi dan mempunyai semangat pengorbanan dalam diri masing-masing.
Sambil memetik kata-kata keramat bekas Presiden Indonesia, Soekarno bahawa tiada perjuangan tanpa pengorbanan, Daud meminta semua ahli Umno khususnya Pergerakan Pemuda supaya bersedia berkorban kerana Umno terlalu besar jasanya kepada agama, bangsa dan negara.
“Tidak ada seorang pun dari kita yang tidak merasai jasa Umno. Namun, kita tidak pernah mahu mengakuinya kerana kita beranggapan segala-galanya wujud dan datang dengan sendirinya.
“Ingatlah, kerana Umnolah kita dapat sampai ke tahap sekarang. Kerana kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Umnolah negara kita berada di tahap ini. Namun, disebabkan kita terpengaruh dengan cerita di luar kononnya negara kita ini kurang baik berbanding dengan negara lain, maka kita sama-sama mahu menjadi penentang dasar-dasar yang diperkenalkan kepimpinan negara,” ujar Daud yang juga Ahli Jawatankuasa Perkasa Malaysia.
Kata Daud lagi, jika bukan kerana kebijaksanaan datuk nenek dan ibu bapa kita memilih kerajaan, kita tidak akan dapat hidup dalam suasana negara yang aman dan makmur seperti sekarang ini.
“Oleh sebab itu, sebagai menghargai warisan dan tinggalan datuk nenek dan ibu bapa kita itu, jagalah Umno ini baik-baik. Buatlah kerja untuk meremajakan semua Umno dan rapatkan barisan untuk berdepan dengan musuh-musuh yang tidak pernah senang melihat negara ini aman,” tegasnya.
Menurut Daud, menjadi pemimpin dan menjadi pengikut adalah dua situasi yang berbeza. Ketika pengikut mahu mencadangkan sesuatu, buatlah cadangan mengikut saluran yang betul. Tetapi apabila pemimpin sudah memutuskan sesuatu, sebaik-baiknya akur dan tutup mulut walaupun mungkin keputusan pemimpin itu tidak menyenangkan hati kita sebagai pengikut.
“Yang patut kita komen, kita serang dan kita kritik ialah musuh kita dan bukan pemimpin kita. Pemimpin kita mempunyai banyak tugas untuk ditunaikan. Tanggungjawab mereka besar dan kita sebagai pengikut sewajarnya menjadi penyokong yang tidak menimbulkan masalah.
“Kalau kita asyik berkecil hati, merajuk dan tidak pernah mahu bersetuju dengan keputusan pemimpin, ia sedikit sebanyak akan menyebabkan pemimpin akan terganggu dengan tugas yang lebih besar kerana melayan karenah pengikut yang tidak tahu peranan masing-masing,” ujar Daud lagi.

Tiada ulasan: