Isnin, 15 Mac 2010

SMS Palsu…MB Jangan Melatah





PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyeru mana-mana pihak jangan melayan SMS palsu yang mengatakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said akan meletakkan jawatan.
Nampaknya, politik Terengganu masih lagi dihantui dengan SMS demi SMS bermula dari cerita SMS bernada ugutan yang menyebabkan seorang bekas Setiausaha Politik telah dihadapkan ke mahkamah.
Selepas cerita itu senyap, sementara perbicaraan tertangguh, tiba-tiba Hishammuddin yang dikatakan berkawan rapat dengan salah seorang dari anggota Geng 10 atau 10 Budak Hitam di Terengganu terpaksa menepis pertanyaan wartawan mengenai SMS mendakwa Menteri Besar akan meletakkan jawatan.
Seorang pembaca blog ini, Asraf dalam komennya berkata…”buat repot polis supaya penyebar SMS palsu ini dapat ditangkap polis,” ada juga yang tidak bersetuju melibatkan polis dalam perkara-perkara politik ini.
Di Kuala Lumpur, ada orang bercakap kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib akan berhenti awal dan tempatnya akan digantikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Walaupun dakwaan itu tidak disebarkan melalui SMS tetapi di ‘lorong pelacur politik’ The Mall, cakap-cakap ini tersebar dengan meluas.
Apa yang penting, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said jangan melatah kerana beliau sudah tentunya mempunyai cukup kematangan menghadapi isu ini. Sebenarnya, kisah bagaimana beliau ditekan, dihalang dan difitnah ketika dilantik menjadi Menteri Besar adalah lebih berat lagi.
Yang penting, MB jangan melatah!
Lebih penting, jika Hishammuddin mahu menyelamatkan Umno dan BN di Terengganu, mintalah Datuk Seri Mohd Najib melantik semula Datuk Ahmad Said menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu supaya parti dan kerajaan dapat berjalan selari.
Dalam PKR, ada juga cerita kononnya Menteri Besar Selangor akan berhenti kerana masalah PKR di peringkat Cabang Kuala Selangor tetapi ia tidak juga berlaku.
Budak-budak yang sibuk menyebarkan SMS palsu di Terengganu itu sebenarnya di kalangan kawan-kawan mereka juga, yang tentunya mempunyai hasrat untuk melantik orang mereka sendiri menjadi Menteri Besar.
(Bagi mereka yang belum membaca buku KEMELUT POLITIK TERENGGANU dapatkan dari pengedarnya kerana banyak perkara-perkara menarik yang perlu diketahui melalui buku tersebut. Hantar pesanan melalui citra_bangsa@yahoo.com segera. Harga Cuma RM20 termasuk belanja pos).

Tiada ulasan: