Sabtu, 20 Mac 2010

Komen Dinturtle : Antara Pejuang Bangsa dan Pemimpin Politik

Oleh Malek Saiful Muda


APABILA saya diminta mengulas komentar Saudara Dinturtle terhadap artikel Zainal Yusof mengenai buku Kemelut Politik Terengganu yang dikatakan menimbulkan kekecohan sesetengah pihak di Terengganu, saya tersenyum sendirian.
Maklumlah, saya tentunya perlu membawa dahulu kandungan buku tersebut yang turut membuatkan tulisan-tulisan saya di blog ini sejak beberapa bulan dahulu – tetapi jelas saya berpandangan, masih ada yang beranggapan bahawa orang politik itu tidak berguna!
Sebenarnya politik ini suatu yang mulia. Cuma pemainnya sahaja mungkin menggunakan kebijaksanaan sendiri untuk mengambil kesempatan dan tidak memperdulikan nasib rakyat.
Bagi saya, saya pernah melihat orang-orang politik berhempas pulas mencari peluang da ruang untuk membantu rakyat yang menaikkan mereka dan kerja keras yang dilakukannya rupa-rupanya menjadikan orang lain cemburu.
Sebenarnya politik ini halal. Jika ia tidak halal, tentulah jawapannya haram. Di Malaysia, ramai orang politik yang bersih tetapi disebabkan ada yang kotor, maka semuanya mahu dipalitkan dengan kekotoran hingga melupakan jasa-jasa mereka yang benar-benar ikhlas dan jujur.
Pegawai-pegawai kerajaan pula merasakan mereka lebih berkuasa dari penguasa yang mewakili parti-parti politik. Mereka lupa kerajaan yang mereka jadikan majikan itu adalah kerajaan orang-orang politik.
Yang bertanding dalam pilihan raya bukan KSU tetapi calon parti politik. Tetapi bila parti politik menubuhkan kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan merasakan mereka adalah boss kepada orang-orang politik. Ini salah dan ia perlu diperbetulkan.
Pegawai-pegawai kerajaan sebenarnya adalah pekerja kepada orang-orang politik. Tetapi memang dasar dunia ketiga, pegawai kerajaan dilihat lebih berkuasa dari Menteri. Ini sesuatu yang cukup silap.
Saya mengharapkan Saudara Dinturtle tidak meletakkan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pejuang dan pembela rakyat tetapi Datuk Ahmad Said hanya orang politik yang tidak bekerja ke arah memperjuangkan nasib rakyat Terengganu.
Kalau dilihat dengan teliti, selama dua tahun menjadi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tidak sibuk menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia sebaliknya beliau sanggup bergelumang dengan lumpur untuk mendekati rakyat.
Hari ini, rakyat tidak hairan dengan cerita tamadun, globalisasi dan cerita pembangunan bertaraf dunia. Sebaliknya rakyat mahukan pemimpin yang sentiasa mendekati mereka, merasa denyut nadi mereka dan sama-sama menghayati kesusahan yang mereka tanggung.
Itulah sebabnya, dalam hal Datuk Ahmad Said yang sanggup berdiri dua jam lebih kerana mahu menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar bukan kerana beliau suka berbuat demikian tetapi kerana beliau mahu bertemu dengan seramai mungkin rakyat Negeri Terengganu yang selama ini hanya melihat pemimpin mereka melalui kaca TV, iklan besar di tepi-tepi jalan dan majlis-majlis rasmi.
Tentulah ada yang mencemburui kesanggupan Datuk Ahmad Said ini. Jangan hairan apabila ada tulisan-tulisan memujinya, akan ada pertanyaan, berapa dapat upah? Tetapi apabila orang yang membelasah Datuk Ahmad Said diajukan soalan yang serupa, siapa dan berapa upah yang mereka dapat kerana membelasah Menteri Besar Terengganu, mereka menyentak – marah-marah dan hilang pertimbangan.
Dalam konteks Terengganu, rakyat Terengganu sebenarnya bertuah kerana mendapat seorang Menteri Besar yang sentiasa bersedia berjumpa dengan rakyat sepanjang masa – serta mengenepikan protocol.
Saya amat berharap jika Saudara Dinturtle dapat menulis dengan tenang dan membaca dengan berlapang dada, tatapilah buku Kemelut Politik Terengganu ini untuk menganalisis situasi sebenar politik Terengganu.
Masalah yang timbul, mereka yang tidak mampu berbuat kebaikan berusaha pula menghalang orang lain membuat kebaikan itu.
Sokonglah usaha kebaikan. Kenapa harus dihalang mereka yang mahu membuat kebaikan?

1 ulasan:

dinturtle berkata...

Saudara, tak sangka pula komen pendek saya mendapat jawapan dalam bentuk satu post ! Mungkin ada sedikit salah faham dengan komen saya itu.

Saya tidak salahkan saudara dengan persepsi saudara terhadap saya sepertinya saya orang Deris saya redho jusuh. Sebab komen saya bukan ditujukan khusus kepada artikel saudara, salah saya sendiri kerana tidak menulis dengan jelas.

Saya sebenarnya geram dengan situasi politik Terengganu, apalagi diperingkat pusat. Pendirian saya boleh digarap melalui coretan diblog saya atau komen2 dibeberapa blog lain (contoh-Rakyat Malaysia).

Saya rakyat Ganu kite, dan bila saya sebut pemimpin bangsa kini telah diganti dengan pemimpin politik saya tujukan kepada set2 deris. Kerana jika mereka pejuang bangsa, kemelut yang melanda politik Tganu tidak mungkin berlarutan.

Saya tidak memihak kepada mana2 parti, mana yang saya rasa salah, saya akan komen. Sering juga saya komen di Sinar Tganu mengkritik Monsoon Cup, mesjid kristal dll berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang ada.

Dan komen saya itu juga saya tujukan kepada pemimpin2 lain, terutama peringkat pusat. Silalah ke blog saya untuk mengenali saya lebih lanjut.

Terimakasih.