Isnin, 8 Mac 2010

Kepentingan Setiap Rakyat Malaysia Dijaga Dalam Model Ekonomi Baru - TPM


SUNGAI BULOH, 8 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin memberi jaminan kepentingan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan dijaga dalam Model Ekonomi Baru (NEM) yang akan dilancarkan kerajaan tidak lama lagi.

Beliau juga memberi jaminan yang pelbagai pihak akan dirundingi dan diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan dan idea mengenai NEM yang sedang disediakan oleh Majlis Penasihat Ekonomi.

"Saya tahu setiap rakyat Malaysia, bukan sahaja Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mahu memberikan pandangan. Saya berikan jaminan bahawa semua akan dirundingi. Kita mempunyai pelbagai jenis badan bukan kerajaan (NGO), bukan hanya MPM," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program "1Komuniti 1Koperasi" di sini.

"Kaum Cina mempunyai NGO mereka sendiri, kaum India juga ada NGO mereka sendiri dan semua NGO ekonomi dan sosial ini mungkin mempunyai idea mereka sendiri dan kami akan mengambil kira semua itu.

"Kami beri jaminan yang mereka akan diberikan peluang samarata (untuk menyuarakan pandangan," tegasnya.

Ditanya mengenai desakan MPM semalam supaya NEM perlu berdasarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) era 1970-an dan mematuhi Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Muhyiddin berkata keputusan akhir mengenai hala tuju NEM adalah di tangan kerajaan.

Mengenai desakan supaya NEM mematuhi Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin menegaskan bahawa apa juga keputusan yang diambil oleh kerajaan adalah mengikut perlembagaan.

"Apa juga keputusan yang dibuat oleh kerajaan dari hari pertama hingga hari ini semuanya mengikut perlembagaan, mengikut semangat perlembagaan, sentiasa mengikut ketetapan dalam perlembagaan," katanya.

Oleh yang demikian, katanya mana-mana kaum tidak perlu bimbang kerana kerajaan sedar mengenai perkara itu.

"Kami amat memahami dan saya tidak fikir mana-mana kaum perlu berasa bimbang, akan ada cukup masa bagi mereka diberikan peluang untuk melihat cadangan Model Ekonomi Baru itu," katanya.

Muhyiddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberikan masa mencukupi kepada pelbagai kumpulan untuk mengemukakan pandangan mereka untuk diteliti oleh kerajaan.

Kerajaan telah memutuskan tempoh untuk memperhalusi NEM akan dilanjutkan daripada cadangan awal pelancarannya iaitu akhir bulan ini kerana ia akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.



-- BERNAMA

Tiada ulasan: