Selasa, 9 Februari 2010

Zambry bersyukur dengan keputusan mahkamah

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menganggap keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan beliau sebagai menteri besar Perak yang sah, memberi kesedaran kepadanya untuk melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat negeri itu.

NONEBersyukur dengan keputusan tersebut Zambry berharap semua rakyat akan kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik.

"Ini masa untuk kita bersatu dan juga untuk bekerja. Inilah harapan dan doa saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan pelantikan beliau oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah mengikut Perlembagaan.

Ditanya mengenai amanat Perdana Menteri kepada beliau, Zambry berkata Najib mengingatkannya agar menjalankan tugas sebaik mungkin dan mahu semua agenda untuk rakyat di negeri itu dlaksanakan.

NONEBeliau juga menegaskan tidak akan terbawa-bawa dengan permainan politik yang mungkin ditimbulkan pembangkang selepas ini.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa keputusan hari ini telah diduga dan dirancang, Zambry berkata bekas Menteri Besar Perak dari parti pembangkang itu bebas untuk mengeluarkan pandangannya.

"Biarlah dia nak cakap apapun. Sebenarnya rakyat lebih sedia maklum akan kenyataan beliau.

"Rakyat boleh mengadili kenyataan-kenyataan beliau sepanjang proses sebelum keputusan mahkamah ini. Bagi saya, yang lebih penting ialah saya menyeru kepada semua pihak termasuk beliau, kita kembali untuk bekerja," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: