Selasa, 9 Februari 2010

Pemuda Umno Sasar Daftar 120,000 Belia Sebagai Pengundi Akhir Tahun Ini

PARIT, 9 Feb (Bernama) -- Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pergerakan Pemuda Umno mensasarkan untuk mendaftarkan 120,000 belia di seluruh negara sebagai pengundi menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya Hisyamuddin Yahya berkata jumlah tersebut merupakan 60 peratus daripada jumlah belia yang telah layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih pada masa ini.

"Pemuda yakin mencapai sasaran terbabit apabila biro berjaya mendaftarkan seramai 27,000 anggotanya sebagai pengundi sejak program pendaftaran pengundi dilancarkan Oktober lepas.

"Untuk memberi rangsangan kepada biro di setiap negeri, kami ada menyediakan hadiah sebanyak RM10,000 kepada negeri yang paling banyak mendaftarkan anggota sebagai pengundi," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian peralatan sukan kepada Pemuda Umno Zon Tiga Bahagian Parit di sini hari Selasa.

Hisyamuddin berkata bagi mencapai sasaran itu, setiap cawangan dan bahagian diminta mengadakan pelbagai aktiviti yang secara tidak langsung memudahkan mereka mengesan belia yang masih belum berdaftar sebagai pemilih.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: