Selasa, 19 Januari 2010

TERENGGANU CADANG BUKA SEMULA LOMBONG BIJIH BESI

Kerajaan negeri Terengganu bercadang membuka semula kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi dan mengarahkan Jabatan Mineral dan Geologi supaya membuat kajian tentang perkara itu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

"Selepas kajian dibuat dalam tempoh enam bulan dan laporan berhubung perkara itu dibentangkan nanti, baru kita dapat memutuskan sama ada ia akan dibuka kembali.

"Perlombongan ini akan dilakukan dengan usahasama pihak tertentu dengan anak syarikat kerajaan negeri memegang sebahagian besar kepentingannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan hampir sehari ke kawasan bekas perlombongan itu di sini Isnin.

Di zaman era kegemilangan Bukit Besi dahulu pada tahun-tahun 50-an hingga 70-an, dilaporkan seramai 3,800 orang bekerja di situ sehingga menjadikan Bandar Bukit Besi bandar paling maju di Terengganu sehingga membawa kepada pembinaan pelbagai prasarana untuk menampung keperluan ekonominya.

Bagaimanapun, semua era kegemilangan itu lenyap selepas bahan mineral berkenaan habis dilombong pada 1974.

Namun, kini kawasan itu dikatakan masih mempunyai bahan galian tersebut.

Ahmad, bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar keluasan kawasan yang terlibat dengan kajian itu.

Katanya, selain itu kerajaan negeri akan memulihkan infrastruktur dan artifak-artifak lama yang pernah dibina semasa zaman perlombongan sebagai satu tarikan pelancongan terbaru di negeri ini.

"Kita akan minta Jabatan Muzium untuk mewartakan kawasan-kawasan serta artifak yang terlibat sebelum usaha memulihara kembali tinggalan sejarah itu dilakukan," katanya.

Sementara itu, Ahmad melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan sikap pemaju yang bertanggungjawab membina kampus UiTM Bukit Besi kerana bertindak menebang hutan secara berleluasa walaupun sebelum ini telah diarahkan agar mengelakkan sebarang pembalakan yang tidak perlu.

"Pihak berkuasa Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sendiri telah memberitahu kepada pemaju, kalau boleh kita ingin menjadikan kampus UiTM ini sebagai kampus dalam taman dan ini dapat membantu mengekalkan persekitaran alam semulajadinya.

"Kita minta mereka menebang pokok hanya di kawasan yang perlu sahaja, tetapi hasil tinjauan hari ini kita nampak banyak (pokok) balak yang telah ditebang," katanya.

Dalam pembinaan fasa satu Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi, yang membabitkan kos RM54 juta, lebih 25 hektar kawasan telah dibersihkan.

1 ulasan:

Unit Media Wangsa Maju berkata...

Salam 1Malaysia,

Kami dari Unit Media Wangsa Maju mengambil kesempatan mengucapkan Syabas kepada anda kerana pengendalian blog yang begitu cekap dengan artikel2 yang bernas dan mantap.

Harap kita dapat bekerjasama dalam menjayakan blog dan menjawab segala fitnah dan dakyah yang dilemparkan pembangkang pimpinan Anwar Al Juburi..

Kami juga telah link blog anda dalam senarai blog kami. Sila layari http://mediawangsamaju.blogspot.com/.


Sekian, Salam Ikhlas dari,
UNIT MEDIA WANGSA MAJU.