Selasa, 26 Januari 2010

POLITIK TERENGGANU – MULUT MANIS, ... MASAM

Politik Terengganu ketika ini nampak tenang. Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar nampak tidak tergugat.

Itu mungkin di mata rakyat dan pada sesetengah pemimpin. Cakap-cakap politik sebaliknya bertentangan dengan kedudukan itu.

Dengan kata lain, hakikatnya di permukaan nampak tenang namun di bawahnya arus semakin ganas dan kalau boleh arus itu mahu menenggelamkan Ahmad Said ke dasarnya.

Kalau boleh Ahmad Said mahu dilihat sebagai nangka buruk yang jatuh ‘berdebuk’ dan terus dimakan cacing, jangan sampai tinggal walau sekumit tulang.

Menghairankan sungguh kenapa Putrajaya dan Ibu Pejabat UMNO terus membiarkan keadaan berlaku pada ketika fokus sepatutnya diberikan bagi menjamin UMNO Terengganu terus mantap.

Saya akan memperkatakan dalam konteks Putrajaya dahulu untuk siri ini.

Dalam konteks Putrajaya, ada beberapa perkara diperkatakan di Terengganu:

1. Kenapa Pejabat Perdana Menteri bagaikan membiarkan politik Terengganu menjadi ‘yo-yo’ sedangkan perkara ini boleh dihentikan serta serta merta dengan kuasa yang ada pada pentadbiran tinggi di Putrajaya;

2. Kenapa dibiarkan cakap-cakap kononnya Perdana Menteri tidak ‘gemar’ kepada Ahmad Said dan lebih berminat dengan seseorang yang lain yang sudahpun ditolak oleh Yang Dipertuan Agong; dan ketiga

3. Apakah dengan membiarkan keadaan berlaku ia strategi untuk mengenakan Ahmad Said dan dengan sendirinya tercicir selepas pilihan raya umum nanti?

Perkara pertama ialah soal hubungan Ahmad Said dan pemimpin Pusat. Berulang kali dan perlu diulang sekali lagi, Ahmad Said bukan meminta atau merancang untuk menjadi Menteri Besar seperti orang lain.

Sebelum pilihan raya umum lalu, beliau tidak menentukan calon atau siapa yang wajar bertanding atau tidak. Beliau bukan orangnya yang menggugurkan Ketua-Ketua Bahagian agar jangan bertanding atau menukar Ketua Bahagian tertentu bertanding di Parlimen untuk menjamin kedudukannya selamat agar dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Ahmad Said sendiri tercicir namanya sebagai calon pada peringkat-peringkat akhir pun. Tetapi ketentuan Allah kalaupun ada perbuatan ‘jubor masam’ oleh seseorang, jika Allah menghendaki orang itu menjadi calon, ia tetap berlaku!

Lupakan soal ‘penderhakaan terhadap istana Terengganu’ dan bila Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar sepatutnya endorsement Putrjaya pada Ahmad Said dibuat dengan menerima perkenan apa yang yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Gambaran kini ialah sseolah-olah Datuk Seri Mohd Najib Razak masih meneruskan cara pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam kontaks Ahmad Said sebagai Menteri Besar ini bagaikan ‘ telunjuk lurus, kelingking berkait’ atau depan manis, belakang masam atau dengan kata-kata lebih jelas ‘mulut manis, jubor masam’.

Cakap-cakap di mana pun mengatakan Najib ‘tidak suka’ kepada Ahmad Said dan mungkin perkara inipun sudah sampai ke pengetahuan Tuanku Mizan.

Persoalan utama yang dikemukakan penganalisis ialah kenapakah Najib tidak mahu menutup mulut mereka yang terus ‘becot’ yang mengatakan beliau tidak ‘restui’ Ahmad Said dan masih mahukan orang lain?

Apakah Najib juga seperti Pak Lah yang pernah berkeras untuk melantik seseorang menjadi Menteri Besar walaupun ‘dalam tempoh enam bulan’?

Kenapa dengan kuasa yang ada padanya, Najib tidak melakukan sesuatu seperti dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam soal perlantikan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Menteri Besar Kedah iaitu memastilan semua pihak patuh dengan kepimpinan Pusat?

Jika benar cakap-cakap ini, ternyata Najib juga ‘lembik’ seperti Pak Lah. Saya pasti Najib tidak bersifat dan berperangai sedemikian.

Perdana Menteri sewajarnya dihormati dan dipatuhi dan berani untuk menyatakan dengan jelas pilihannya.

Apakah dengan bermain ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’ akan menguntungkan Pusat dan kerajaan negeri?

Lebih memburukkan keadaan apabila caka-cakap semakin lantang kononnya Najib mahu memecat Ahmad Said pada ketika Najib turun ke Terengganu mengagih-agihkan bantuan banjir akhir tahun lalu.

Berita-berita tersebar luas hingga ke Sabah yang memetik sumber Kementerian Kewangan kononnya Ahmad Said akan ditukarkan secepat mungkin.

Malah, ketika ini pun ada pihak mengatakan Ahmad Said akan ditukarkan Mac depan.

Bukan mudah untuk menukar Menteri Besar Terengganu. Selain perlembagaan negeri yang begitu kukuh melindungi seseorang Menteri Besar, pertukaran akan menyebabkan krisis besar antara istana dan Pusat.

Najib tidak boleh mengambil risiko ini kerana jangan melihat Tuanku Mizan semata-mata tetapi lihatlah institusi beraja dan apa hubungan antara satu istana dengan istana yang lain.

Najib mungkin boleh melakukan sesuatu kepada keputusan istana Terengganu tetapi dalam konteks sistem beraja negara kita, ‘satu peha kanan kena cubit, semua peha kiri akan sakit’.

Persoalan lain ialah, apakah kemelut yang berlanjutan sekarang sengaja dibiarkan oleh Putrajaya untuk melemahkan Ahmad Said?

Tanpa mengenakan sebarang ‘kawalan’ sama ada melalui pentadbiran atau parti oleh Putrajaya terhadap mereka yang sengaja menentang keputusan perlantikan dan pentadbiran Ahmad Said ini memperlihatkan sikap ‘pecah dan perintah’ Putrajaya di Terengganu?

Untungnya siapa?

Najib juga tidak boleh memperbanyakkan lagi kritikan dan anggapan serong terhadapnya kerana sudah banyak tanggapan serong yang perlu beliau jawab.

Persoalannya, kalau Ahmad Said menentang arus atau menentang kepimpinan Najib dan menyokong calon lain umpamanya pada pilihan raya atau pemilihan UMNO, mungkin ada sebab untuk ‘memusuhi’ Ahmad Said pula.

Tetapi Ahmad Said menunjukkan kesetiaannya kepada Najib dan tidak pun menentang atau bersuara dalam banyak perkara, termasuk perlantikan dalam Terengganu Investment Authority (TIA) walaupun wang itu adalah amanah rakyat Terengganu.

Sehingga hari ini Ahmad Said tidak tahu dan tidak kenal siapa orang penting TIA yang sepatutnya Menteri Besar dimaklumkan kerana ia adalah hasil wang minyak Terengganu.

Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said sewajarnya diberitahu dengan jelas mengenai isu ini, bukan dihijack begitu sahaja.

Ahmad Said sudah tunduk hampir rapat ke bumi kepada Najib dan tidak wajar Putrajaya bermain kotor dengan Ahmad Said yang diperkenankan perlantikan oleh Tuanku Mizan.

Selain itu, Ahmad Said yang menjadi pemegang amanah kuasa dan harta rakyat Terengganu perlu diberikan ‘kedudukan dan penghormatan’ yang adil kerana walaupun Ahmad Said bukan anggota Majlis Tertinggi atau Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, namun beliau juga ahli dan pemimpin UMNO.

UMNO Kemaman yang diketahui mempunyai sejarahnya juga berperanan besar untuk Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak pemerintahan di Putrajaya.

Ahmad Said juga mempunyai peranan menjamin Najib berada di kedudukannya. Perlu diingat, ketika Najib mengumumkan akan bertanding Presiden, ia dibuat di Kuala Terengganu dan Ahmad Said berada di sebelahnya, bukan pemimpin lain yang cuba mengadu-domba Najib.

(Dipetik dari http://hambali1.blogspot.com/)

Tiada ulasan: