Isnin, 21 Disember 2009

Teng…teng…teng… Geng 10 dah mula buat drama



Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

PERSIDANGAN DUN Terengganu diwarnai dengan lakonan ala pelakon handalan beberapa ADUN dari kalangan Geng 10 yang memulakan lakonan mereka di depan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh bagi membuktikan mereka kini masih utuh di belakangnya.
Serangan bertubi-tubi dari Datuk Din Adam dan Alias Abdullah terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang baru pulang dari menunaikan fardu Haji membuktikan anggota Geng 10 mahu membuktikan kepada Idris, mereka masih tidak mahu ‘berdamai’.
Namun, Menteri Besar yang cukup berpengalaman dan lama dalam DUN Terengganu dapat mematahkan hujah-hujah murahan Din dan Alias yang cuba-cuba mahu bersuara selepas memboikot persidangan DUN dan kemudiannya memilih untuk menghadiri persidangan tetapi ‘menjahit mulut’ masing-masing.
Kali ini, mereka datang, dengan satu keazaman mahu bercakap tetapi bukan perkara-perkara yang mementingkan rakyat tetapi mahu memalukan Menteri Besar seolah-olah berlaku pembangunan untuk rakyat tidak diutamakan dan projek perlombongan bijih besi dilaksanakan tanpa pengetahuan ADUN di kawasan tersebut.
Secara mudah Menteri Besar menjelaskan bahawa Din terlalu jarang untuk ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan memilih untuk sukar dihubungi menyebabkan banyak maklumat yang terlepas dari pengetahuannya.
Tiada siapa pun di Terengganu yang terkejut jika Din menyerang kepimpinan Umno Terengganu dan Kerajaan negeri di bawah Datuk Ahmad Said kerana selama ini Din memang sudah melakukannya sejak sekian lama.
Malahan, ada yang mengatakan jika Din bercakap tidak menghentam dan memburuk-burukkan Menteri Besar, ia sesuatu yang pelik.
Alias pula yang sering mengelarkan orang lain jenis cap ayam tetapi dia bukan dari ketegori itu juga cuba mencari kesalahan dengan memperjuangkan isu longkang di kawasannya tetapi selama ini, ketika dia sibuk dengan agenda Geng 10, longkang-longkang yang diperjuangkannya tidak langsung mendapat perhatian.
Din dan Alias terkejut sebenarnya apabila Menteri Besar melibas mereka berdua secara mudah kerana perangai mereka, sudah diketahui umum. Bukan setakat Terengganu malahan seluruh negara sudah biasa membaca kisah Geng 10 dengan rombongan mereka ke Kuala Lumpur untuk menjalankan tugas-tugas mencaci kepimpinan Datuk Ahmad Said.
Hari ini, apabila mereka menghadiri persidangan yang selama ini mereka dakwa mendapat ugutan dan sebagainya, mereka melakonkan satu babak demi satu babak, yang skripnya tentunya ditulis oleh penulis skrip yang sama dan lakonan mereka diarah oleh pengarah yang mendapat pendidikan tinggi dalam bidang ‘drama sebabak’.
Ramai yang tertawa dengan drama-drama ini tetapi mereka akan lebih kuat tertawanya apabila sampai masa pemilihan calon dalam PRU 13 akan datang.

Tiada ulasan: