Rabu, 23 Disember 2009

Pertahankan MB : Bukan kerana rapat

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

SEBUAH blog, yang selama ini menjadikan blognya sebagai medan membelasah Menteri Besar (MB) Terengganu, menyindir dalam tulisannya baru-baru ini, kononnya apabila dia tidak menulis, ada penulis yang rapat dengan MB seolah-olah tidak ada kerja yang hendak dibuat dan makan gaji buta!

Saya terpanggil untuk menjawab tulisan itu, bukan kerana saya ‘makan cili menyebabkan terasa pedas’ tetapi atas dasar tanggungjawab memperbetulkan persepsi yang selama ini diputar belitkan oleh seorang blogger, yang hidupnya tidak boleh tengok orang lain senang.

Bagi saya, dia hendak belasah MB, itu kerja dia dan saya nak pertahankan MB pula, itu tugas saya. Soal saya makan gaji, itu fitnah kerana dituduh dan diitnah amatlah biasa dalam kehidupan sebagai penulis dan wartawan.

Biasalah. Menjadi penulis yang bermaklumat berbeza dengan menjadi penulis yang berilmu. Menjadi blogger yang bermaklumat juga berbeza dengan blogger yang berilmu. Saya tidak bertujuan mengatakan saya berilmu dan orang lain bermaklumat. Cuma, saya mahu mengajak pembaca semua, termasuk yang suka menganalisis, bezakan secara mendalam apa maknanya bermaklumat dan apa maknannya, berilmu.

Sudah banyak kali saya menulis di blog ini, mengatakan, tulisan kita bukan setakat berakhir di sini sahaja tetapi akan dipersoalkan hingga ke akhirat. Ingat! Dosa membuat fitnah itu lebih besar dari dosa membunuh.

Bayangkanlah, apabila ada blogger menulis kerana dia mendapat maklumat. Dia ingatkan, semua maklumat yang dia terima, yang dia dengar dan yang dia baca adalah benar belaka sedangkan maklumat itu belum tentu benar, belum tentu betul dan belum tentu sesuai untuk disebarkan.

Ramai budak-budak di Chow Kit Kuala Lumpur mempunyai banyak maklumat tetapi jika kita yang mendengar maklumat ini tidak berilmu, maka kita tidak dapat menapis maklumat yang kita terima itu. Ini bahaya. Kenapa bahaya?

Bahaya kerana kita tidak dapat membezakan maklumat itu betul atau tidak walaupun kita mungkin bermaklumat tetapi disebabkan kita tidak berilmu, maka kita gagal menapis maklumat itu. Lebih malang lagi, kita panjangkan pula maklumat yang tidak tentu kebenarannya itu kepada umum dan ia menjadi fitnah yang akibatnya, cukup buruk.

Ketika kita mengizinkan kebebasan bersuara, kebebasan menulis dan kebebasan bercakap, kita tidak boleh lari dari tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Bayangkan kalau kita difitnah! Apakah kita suka difitnah? Tentunya kita tidak suka. Kecuali orang yang suka dirinya dan keluarganya difitnah adalah orang yang tidak waras atau gila.

Bila kita membelasah Menteri Besar, kita anggap ini sebagai satu kebebasan menulis dan kebebasan bersuara. Tetapi apabila ada penulis lain yang mempertahankan MB, kita anggap ia sebagai makan gaji, rapat dengan MB dan kerana ada sebab-sebab tertentu. Apakah kebebasan ini hanya berguna kepada ‘kaki pukul’ tetapi kepada orang yang mempertahankan, ia bukan kebebasan?

Awal-awal saya menulis, saya memilih untuk memperkatakan yang benar. Selagi saya nampak Menteri Besar melakukan kerja-kerja baik untuk rakyat, tidak memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak menjahit mulutnya dari bercakap di DUN dan tidak berdedai ke Kuala Lumpur menabur fitnah, saya akan pertahankan.

Tetapi kalau saya nampak Menteri Besar Terengganu membokiot persidangan DUN, masuk persidangan DUN tetapi menjahit mulutnya, berdedai ke Kuala Lumpur untuk menabur fitnah kepada Geng 10 di Terengganu dengan cerita-cerita yang tidak betul, saya akan menyerangnya, lebih teruk dari serangan yang dibuat oleh mereka ini.

Tetapi selagi apa yang Datuk Ahmad Said lakukan, saya lihat dan percaya ianya betul, wajib bagi saya mempertahankannya dari serangan mereka yang tidak pernah berilmu tetapi sering mendakwa diri mereka bermaklumat.

Marilah kita melihat dari sudut kewarasan, apakah semua maklumat yang kita dapat itu betul dan adakah kita tapis maklumat yang kita dapat menggunakan ilmu yang kita ada. Jika kita tidak berilmu, bertanyalah kepada kawan-kawan yang lebih tahu dari kita atau kawan-kawan yang lebih berilmu dari kita.

Hentikanlah fitnah dan mengesyaki bila ada orang menulis mempertahankan Menteri Besar, itu kerana makan gaji atau kerana rapat dengan Menteri Besar. Memetik kata-kata Menteri Besar ketika menjawab soalan ADUN Alor Limbat, Alias Abdullah, “bermuhasabah dirilah” sempena Maal Hijrah ini.

Tiada ulasan: