Khamis, 24 Disember 2009

Pantau projek lebih kerap, telus elak bumbung runtuh

Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 24 Dis: Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) berharap pihak berkenaan perlu melakukan pemantauan lebih kerap dan telus terhadap projek pembinaan yang sedang mahupun sudah siap bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti bumbung runtuh.

Sehubungan itu, pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berhubung kejadian terminal pengangkutan awam di Kuala Brang yang masih dalam pembinaan runtuh, Isnin lalu.

Beliau berkata, sememangnya kekurangan pemantauan daripada pihak-pihak terbabit termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) menyebabkan berlaku kejadian seperti itu.

Katanya, pihak berkenaan sepatutnya mengambil iktibar daripada kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada Jun lalu.

“Mampat juga melahirkan rasa dukacita terhadap JKR dan pihak-pihak berkenaan bila mana pelbagai teguran, pandangan yang diberikan pelbagai pihak terhadap insiden keruntuhan bumbung yang berlaku sebelum ini tidak mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya ketika dihubungi, pagi ini.

Ahmad Said ketika bercakap kepada media semalam mengenai kejadian sengkuap terminal itu runtuh berkata, kurang pengawasan jabatan kerajaan yang berkenaan menyebabkan ramai kontraktor menjalankan kerja secara sambil lewa menyebabkan berlaku beberapa kejadian bumbung runtuh di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pengawasan projek sama ada oleh pihak berkuasa tempatan, JKR atau pihak-pihak lain dibuat dengan lebih ketat.

“Sepatutnya dalam setiap pelaksanaan projek, JKR perlu mengadakan pemantauan bagi memastikan projek tidak menghadapi masalah. Apa yang mendukacitakan semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang lepas itu tidak datang-datang,” ujarnya.

Mohamad Fauzi menambah, pihaknya juga merasa kesal dan kecewa kerana JKR yang selama ini terkenal dengan slogan ‘Jasa Kepada Rakyat’ telah mengabaikan amanah dan tanggungjawabnya dan lebih malang lagi apabila mendedahkan nyawa rakyat kepada bahaya.

Justeru, katanya, atas semangat 1Malaysia, Mampat juga meminta badan-badan berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) turut telus dan menjalankan siasatan sewajarnya mengenai
beberapa kejadian bumbung runtuh sebelum ini bagi memastikan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” menjadi kenyataan.

Kejadian bahagian bumbung kaca pada projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam yang bernilai RM4.2 juta itu merupakan “lanjutan” daripada beberapa kejadian seumpama itu sebelum ini.

Projek itu milik Majlis Daerah Hulu Terengganu yang dilaksanakan oleh kontraktor Gemilang Mega Sdn Bhd.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan empat pekerja termasuk tiga warga Bangladesh cedera.

Akibat runtuhan itu, atap gentian kaca yang berukuran 1 x 2 meter bertaburan di bahagian laluan pejalan kaki bersama penyokong yang tercabut dengan bahagian bumbung itu.

Harakahdaily difahamkan kos untuk pemasangan bahagian bumbung pada projek yang dimulakan pertengahan 2008 lalu itu sekitar RM700,000.

Sebelum ini, beberapa kejadian bumbung runtuh turut berlaku di beberapa bangunan seperti dewan sekolah, stadium dan masjid.

Pada 3 Oktober lalu, sebahagian bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman yang berharga RM2.1 juta yang tidak sampai setahun digunakan runtuh dan ranap dalam beberapa saat, kira-kira jam 9 pagi.

Pada 2 Jun lalu, sebahagian besar bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini yang baru setahun digunakan khususnya untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 runtuh jam 9.30 pagi.

Runtuhan bumbung sepanjang 80 meter itu dipercayai bermula pada bahagian tengah stadium yang menempatkan bilik tetamu kehormat (VIP) dan tempat duduk utama termasuk pentas diraja.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM292 juta itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas.

Pada 12 April tahun lepas, seluruh bumbung bangunan Dewan Saidina Abu Bakar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, Marang yang berharga RM2 juta runtuh secara tiba-tiba dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kekuda kayu yang menyokong bumbung bangunan yang siap dan digunakan akhir tahun 2005 itu tidak mampu bertahan menyebabkan keseluruhan bumbung runtuh.

(dipetik dari harakahdaily.net)

Tiada ulasan: