Selasa, 22 Disember 2009

PAC Terengganu : Kenapa tak buat mesyuarat?


Oleh Zainal Yusof

MENTERI Besar, Datuk Ahmad Said mengakui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) tidak pernah bermesyuarat sepanjang 2008 walaupun notis kepada ahli-ahli telah dikeluarkan.

Menurutnya, beliau dukacita atas ketidakhadiran ahli-ahli hingga menyebabkan jawatankuasa tu gagal bermesyuarat disebabkan tidak cukup kuorum.

“Nampaknya ada ahli yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri tidak berminat menghadiri mesyuarat bagi memastikan perbincangan berhubung kewangan negeri berjalan dengan betul.

“Bagaimanapun tahun ini mesyuarat telah dua kali diadakan. Saya harap selepas ini jawatankuasa lebih kerap bermesyuarat bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dilakukan dengan sempurna,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas – Wakaf Mempelam) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin lalu.

Abdul Wahid bertanya mengenai kegagalan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri yang tidak bermesyuarat sepanjang 2008 dan tidak mengemukakan laporan untuk dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri dibentuk dengan tujuan memastikan segala perjalanan dan urusan kewangan negeri diurus tadbir mengikut prosedur ditetapkan.

Ia kini dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Alor Limbat, Alias Abdullah.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab melaporkan kepada kerajaan negeri jika terdapat perbelanjaan atau pengurusan kewangan yang bertentangan undang-undang atau prosedur bagi mengelakkan sebarang penyelewengan.

Kepada soalan tambahan Abdul Wahid, Ahmad berkata, walaupun ua mesyuarat jawatankuasa itu diadakan tahun ini, namun kehadiran anggota masih boleh dipertikaikan.

Katanya, dua kali bermesyuarat sebenarnya tidak memadai sebaliknya lebih kerap bagi memastikan kewangan negeri diurus tadbir sempurna – Utusan Malaysia

Tiada ulasan: