Rabu, 30 Disember 2009

'Kita Harap Tan Sri Tidak Cakap Pusing-pusing' : Naib Presiden PBNJ

JOHOR BAHARU, 29 Dis (Bernama) -- Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tan Sri Muhammad Ali Hashim diminta supaya tidak berdolak-dalik berhubung hutang persatuan itu yang dianggarkan melebihi RM900,000.

Naib Presiden I PBNJ yang baru, Datuk Abdul Aziz Sapian, meminta pentadbiran lama persatuan itu supaya menyelesaikan dengan segera hutang itu yang meliputi pembayaran gaji pemain yang tertunggak.

"Kita berharap Tan Sri tidak bercakap pusing-pusing. Kita (pentadbiran baru persatuan) berharap beliau dapat membersihkan persatuan daripada segala hutang-piutang yang ditanggungnya.

"Kita meminta beliau dan pentadbiran lama PBNJ dapat menyelesaikan hutang itu sebelum bermulanya saingan Liga Super pada 9 Jan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan persekolahan kepada anak-anak Orang Asli di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Selasa.

Abdul Aziz, yang juga pengurus pasukan Liga Super Johor, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhammad Ali baru-baru ini bahawa beliau masih menunggu penyata kewangan PBNJ tentang jumlah hutang yang ditanggungnya.

Muhammad Ali, yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, berkata beliau yakin masalah hutang itu dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini jika mendapat penyata kewangan itu dengan segera.

Abdul Aziz berkata Muhammad Ali, yang memimpin PBNJ selama sembilan tahun, sepatutnya mengetahui jumlah hutang yang ditanggung oleh persatuan kerana setiausaha dan bendahari persatuan sebelum ini telah dilantik oleh beliau.

"Beliau boleh bertanya sendiri dengan kedua-dua pegawai itu tentang jumlah hutang PBNJ dan bukannya meminta laporan itu daripada kita (pentadbiran PBNJ yang baru)," katanya.

Abdul Aziz berkata, pentadbiran baru PBNJ yang dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Jais Sarday, mahu melihat Johor kembali gemilang dalam arena bola sepak negara seperti pada era 80-an dan 90-an.

(dipetik dari bernama.com)

Tiada ulasan: