Rabu, 16 Disember 2009

Ketuanan bermaksud lebih berhak, bukan tuan – Nik Safiah


KUALA LUMPUR 14 Dis. – Ketuanan bukan bermaksud antara tuan dan hamba sebaliknya ia menunjukkan siapa lebih berhak ke atas sesuatu perkara.

Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, apabila disesuaikan dalam konteks ketuanan Melayu ia bermakna hak-hak keistimewaan perlu dikekalkan kerana negara ini asalnya milik orang Melayu.

Jelasnya, hak itu bukan bermaksud kedudukan Melayu lebih tinggi daripada kaum lain yang mendatang namun ia sebagai balasan pengorbanan mereka berdasarkan catatan sejarah.

“Orang Melayu sudi menerima kaum lain yang berhijrah ke negara ini dan daripada itu, mereka berhak mengekalkan keistimewaan sebagai kaum asal di negara ini.

“Keistimewaan ini juga memberi peluang orang Melayu memperbaiki diri dalam sektor ekonomi yang banyak dikuasai kaum lain,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas maksud sebenar ketuanan Melayu atau ketuanan bumiputera yang dianggap rasis oleh kebanyakan bukan Melayu terutama ahli politik pembangkang.

Pada 3 Disember lalu, Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, M. Kulasegaran mempersoalkan perihal ketuanan Melayu kerana disifatkan tidak adil untuk kaum lain.

Kata Kulasegaran, perkara itu menjadi halangan kepada perpaduan kaum kerana ia dilihat mendiskriminasi bukan Melayu.

Kenyataannya di Parlimen itu mendapat tentangan meluas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seperti Gagasan Melayu Perak (GMP) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Hari ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ketuanan Melayu adalah sebuah slogan yang berbentuk patriotisme.

Mengulas lanjut, Safiah melihat salah tafsiran ketuanan Melayu di kalangan bukan bumiputera disebabkan mereka sudah lupa kepada pembentukan sejarah negara ini.

“Walaupun generasi baru bukan bumiputera adalah warganegara Malaysia yang lahir di negara ini, mereka tidak boleh menolak fakta bahawa generasi mereka asalnya ialah pendatang ke negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, pensyarah dan Ketua Jabatan Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan menjelaskan, pemahaman salah mengenai konsep ketuanan Melayu disebabkan usaha pihak tertentu untuk meruntuhkan nasionalisme Melayu.

“Ketuanan Melayu bermakna kedaulatan Melayu yang mana perkara-perkara seperti kedudukan raja-raja, agama Islam, bahasa Melayu mestilah dihormati yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

(Dipetik dari http://www.pribumiperkasa.com/perkasa/)

1 ulasan:

C L J berkata...

Konsep Ketuanan Melayu itu sesungguhnya cukup mudah difahami kalau dilihat dari perspektif realiti sejarah; malah dari segi kajian sosial sosial sekali pun. Ia menjadi payah kerana ada pihak pihak cuba mengolahnya semula secara salah untuk kepentingan politik.

Persoalannya apakah hak kepentingan politik sempit itu untuk mengetepikan hakikat dan kebenaran. Kalau ada orang Melayu dan masih Islam ikut sekongkol dengan tonjolan serta sogokan akalan menyimpang itu, fikir fikirkanlah tanggongan dalam kehidupan selepas kehidupan kini kelak.