Khamis, 24 Disember 2009

Hukum YB Ponteng : Geng 10 Macamana?


Oleh Hassan Md Hssein (Sandakan)

HARI ini, Khamis 24 Disember 2009, ketika membaca akhbar Berita Harian, terbaca saya tajuk muka depan ‘Hukum YB Ponteng’ – Peraturan khas pastikan Ahli Parlimen BN hadir dewan, saya tertawa kecil tetapi dalam hati, mengharapkan sesuatu!

Kenapa saya tertawa kecil? Saya tidak percaya BN mempunyai ‘undang-undang’ yang boleh menghukum mana-mana YB yang tidak hadir dewan dan percayalah (baca:yakinlah), tidak aka nada apa-apa tindakan yang bakal dikenakan terhadap mana-mana YB BN yang tidak hadir ke dewan.

Namun, dalam hati saya mengharapkan sesuatu, iaitu mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempunyai mekanisme sendiri untuk mengambil tindakan, menghukum mereka yang tidak hadir dewan, tanpa sebab.

Ini termasuklah YB yang sibuk dengan cerita bernikah kedua dengan artis, jika ketidakhadirannya kerana mahu menganjurkan majlis bernikah, yang mana ia sepatutnya mengutakaman dewan, lebih-lebih lagi ketika pengundian mahu dijalankan.

Oppps… kalau YB Parlimen dari BN mahu dihukum (walaupun saya sedikit pun tidak percaya ia akan dihukum) bagaimana yang dengan 10 Budak Hitam atau Geng 10 di Terengganu dahulu, yang membuat dakwaan palsu kononnya mereka diugut hingga menyebabkan mereka tidak menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu?

Dulu, belum begitu lama kejadian ini, 10 ADUN termasuk seorang bekas Menteri Besar, kalau tidak silap namanya Datuk Seri Idris Jusoh, seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno dan dilantik menjadi Pengerusi MARA, tidak hadir ke persidangan DUN. Bukan setakat mereka tidak hadir, ada antara mereka membuat laporan kepada polis kononnya ada seorang pegawai di Pejabat Menteri Besar Terengganu menghantar SMS bernada ugutan dan mendesak supaya pegawai itu dibersarakan!

Bukan itu sahaja, mereka yang dikenali dengan nama Geng 10 atau 10 Budak Hitam ini ke hulu ke hilir memburuk-burukkan Menteri Besar, dengan satu senarai panjang kononnya inilah antara kegagaglan Menteri Besar yang berjaya mempengaruhi Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mengekalkan Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu sebaliknya melantik Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai penggantinya.

Lantas, sibuklah beberapa blogger yang pro Geng 10 ini meramalkan hayat jawatan Menteri Besar Terengganu yang disandang Datuk Ahmad Said akan berakhir dalam masa terdekat dan apabila Timbalan Perdana Menteri menafikan akan berlaku bertukaran Menteri Besar, beberapa pihak di Terengganu, antaranya anggota 10 Budak Hitam menyerang Muhyiddin dengan kata-kata, “kenapa Muhyiddin mendahului Najib” dalam hal perlantikan Menteri Besar.

Ketika saya tidak percaya ada apa-apa hukuman mahu dikenakan terhadap YB Ponteng dewan di Kuala Lumpur, hati saya mengharapkan jika benarlah ada hukuman terhadap YB Ponteng, tindakan serupa perlulah dikenakan terhadap 10 Budak Hitam di Terengganu ini.

Mungkin kerana 10 Budak Hitam ini berjaya ponteng dan menyebarkan cerita karut-marut mengenai MB Terengganu tidak diambil kisah dan tiada apa-apa hukuman dikenakan, maka tingkah laku 10 Budak Hitam ini dicontohi oleh Ahli-Ahli Parlimen BN.

Kalaulah boleh saya mencadangkan bentuk hukuman kepada Perdana Menteri, nyahkan semua mereka yang ponteng ini dari senarai calon BN dalam pilihan raya umum akan datang. Yang pertama perlu disingkirkan ialah anggota 10 Budak Hitam di Terengganu. Jangan beri mereka tempat termasuk bekas Menteri Besar yang kononnya bertaraf pemimpin dunia dan pencipta tamadun di Terengganu.

Apakah ada keberanian Perdana Menteri untuk melakukan semua ini! Kita tunggu sahajalah.

Tiada ulasan: