Rabu, 25 November 2009

Geng 10 ikut Hishammuddin harungi banjir


Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah

DAH agak lama tidak dengar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuat kenyataan mengenai Umno negeri itu.
Sejak beliau bergambar beramai-ramai dahulu dengan kenyataan semua masalah yang timbul antara Geng 10 dengan Menteri Besar Terengganu sudah selesai, terus Hishammuddin tidak bercakap apa-apa lagi mengenai wakil-wakil rakyat Terengganu.
Ramai yang percaya, Hishammuddin ikhlas mengeluarkan kenyataan dan bersedia bergambar dengan mereka yang bermasalah itu.
Namun, masih ada cerita-cerita yang mengatakan, masih ada yang menjauhkan diri dari semua program anjuran kerajaan negeri dan Umno negeri.
Hari ini, ketika Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri sekali lagi mengeluarkan kenyataan masalah yang pernah timbul di Terengganu, kini sudah selesai. Beliau mengadakan lawatan mangsa banjir di Hulu Terengganu dan dikatakan wakil-wakil rakyat yang membawa masalah kepada Umno dan BN Terengganu hadir bersama-samanya.
Menteri Besar Terengganu tidak ada sama kerana mengerjakan Fardu Haji di Makkah.
Beberapa pihak yang membaca berita itu turut melahirkan rasa syukur mereka jika benar-benar Geng 10 kini sudah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
Kerja sia-sia yang pernah mereka lakukan, mahu dilupakan kerana itu adalah tindakan orang-orang yang cetek fikiran.
Hari ini, khabarnya hanya seorang sahaja ADUN dari kawasan Dungun dikatakan masih menjadi ‘kera sumbang’ kerana enggan kembali ke pangkal jalan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dikatakan sedia memaafkan kesemua mereka ini jika mereka benar-benar insaf dan ikhlas mahu memperbaiki keadaan yang sudah rosak.
Menurut Hishammuddin, wakil-wakil rakyat yang dulunya menimbulkan masalah, kini meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.
Tidak pula diketahui apakah bekas Menteri Besar, datuk Seri Idris Jusoh sudah memberi kebenaran kepada semua anggota Geng 10 supaya memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said dan Umno Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin.

Tiada ulasan: