Seorang penyokong kerajaan Khamis secara lantang mendesak Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berundur kerana disifatkan sudah tidak mendapat kepercayaan parti selain imejnya yang sudah tercalar.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk melakukan perkara sama kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.
Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, beliau berkata sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.
"Kalau ada menteri kabinet yang hilang kepercayaan di kalangan ahli partinya, buat apa jadi menteri kabinet, berhentilah.
"Kalau ada harga diri, maruah diri, berhenti, jangan susahkan Perdana Menteri. Orang lain dalam MCA boleh ganti tempat (dia), apa ingat dia seorang sahaja yang pandai," katanya
Mohamad berkata menteri berkenaan wajar berundur sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu supaya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.
"Saya cakap apa yang dirasai sebahagian besar rakyat. Inilah makna rakyat di dahulukan, menteripun harus bersikap rakyat didahulukan. Rakyat sudah tidak mahu....jalan, jangan tunggu...get out you!," katanya.
Mengenai kedudukan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga dan menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), beliau berkata menteri itu sendiri tidak menunjukkan prestasi yang baik.
"Jaga KPI tetapi kalau diri tidak ada KPI, kakitangan di bawah hilang kepercayaan, bagaimana keberkesanan kita sebagai menteri.
"Saya kasihan pada kawan saya (bekas Anggota Parlimen) Batu Kawan (Huan Cheng Guan), dulu seorang Anggota Parlimen yang baik tetapi kawasannya dirampas Presiden (Gerakan, Koh) yang bertanding, tetapi kalah satu negeri, macam ini hendak jaga KPI," katanya.
Beliau juga menyifatkan Koh sebagai 'suka mengampu' kerana tidak pernah hadir di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.
"Jadi senator, masuk pintu belakang, jadi menteri, tak datang pun Parlimen. Perdana menteri datang, dia datang, perdana menteri datang, dia datang...ini namanya menteri mengampu," katanya yang menerima sokongan beberapa anggota Parlimen lain termasuk pembangkang.
Kemudian dengan nada yang lebih rendah, Mohamad yang telah tiga penggal menjadi wakil rakyat, turut menasihati para menteri agar tidak bersikap sombong atau bongkak.
"Kata orang tua kalau dongak ke langit jangan lupa rumput di bumi. Jangan jadi teratai, ke langit tidak sampai ke bawah tidak jejak. Hari ini kau menteri esok orang biasa, untung macam saya semalam Anggota Parlimen, hari ini Anggota Parlimen, esok dan selama-lamanya Anggota Parlimen," katanya disambut derai ketawa mereka yang hadir.
Kenyataannya itu membuatkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mencelah dan bertanya adakah itu bermakna beliau tidak berminat untuk menjadi menteri.
Menjawab soalan itu Mohamad berkata: "Saya sudah pernah pengalaman menjadi exco. Setahun 241 mesyuarat, susah hendak jumpa bini, timang anak tak dapat, timang bini pun tak dapat, cukuplah. Tanyalah menteri yang betul bekerja, tak sempat dia timang anak tak sempat...wakil rakyat beginipun alhamdulillah," katanya sekali lagi disambut tepukan mereka yang hadir.
Mohamad turut membangkitkan beberapa isu semasa termasuk program XChange Proton yang didakwa satu polisi yang menyusahkan rakyat terutama masyarakat kampung dan boleh menjatuhkan BN.
Justeru beliau mahu polisi itu dipinda.
Menerusi skim itu, pemilik boleh menukar beli kereta lama mereka dengan minimum jangka hayat 10 tahun bagi diskaun RM5,000 apabila mereka membeli mana-mana kereta Proton.
Semua model kereta layak berada di bawah program itu tetapi ia perlu terlebih dahulu diuji dan disahkan oleh Puspakom Sdn Bhd bagi memastikan ia tidak diubah suai secara haram.
Isu lain yang turut dibangkitkan termasuk tindakan menghalang peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPTN) ke luar negara yang beliau harap dapat dikaji semula manakala Kementerian Kesihatan diminta memberi penjelasan tentang dakwaan masakan tomyam campur, yang menggabungkan makanan laut dengan makanan darat contohnya ayam dan daging, mempunyai kaitan dengan jumlah penyakit dan daya tahan penyakit yang semakin rendah di kalangan rakyat negara ini.
Beliau berkata menurut Islam adalah dilarang masakan yang mencampurkan makanan laut dan darat kerana dikhuatiri boleh memudaratkan sistem penghadaman manusia.
Jumaat, 30 Oktober 2009
MP SRI GADING MINTA TEE KIAT DAN TSU KOON BERUNDUR
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan