Rabu, 2 September 2009

Alahai Rosol… siapa yang lebih mampu dari Hishammuddin?



Oleh Malek Saiful Muda

BEKAS Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Rosol Wahid sudah mendedahkan siapa dirinya yang sebenar.
Satu ketika dia tidak bersetuju Menteri Besar Datuk Ahmad Said kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.
Dia juga tidak mahu Datuk Ahmad Said terus menjadi Menteri Besar.
Kini, dia tidak seronok dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, dengan alasan, Hishammuddin tidak akan faham politik Terengganu.
Maknanya, Rosol yang merupakan jurucakap Geng 10 yang berketuakan Datuk Seri Idris Jusoh mahu memberitahu Perdana Menteri, lantik dirinya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, jika tidak mahu melantik Idris. Itu tafsiran mudah seorang tukang sapu sampah di MPKT.
Ada juga yang mentafsirkan bahawa Idris merasakan Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana Najib juga tidak memahami politik Terengganu dan itulah sebabnya Najib melantik Hishammuddin yang dikatakan tidak tahu politik Terengganu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
Pengalaman Hishammuddin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno sejak 1998 hingga 2009, sebagai tidak layak untuk menerajui Umno Negeri Terengganu.
Inilah akibatnya apabila Najib, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Hishammuddin terlalu memberi muka kepada bekas Exco Islam Hadhari Terengganu ini.
Perangai Rosol ini juga adalah gambaran perangai setiap ADUN dalam Geng 10, barangkali.
Mungkin juga dalam fikirannya, selain Idris yang layak menjadi pemimpin Umno Terengganu, jawatan itu kenalah diserahkan kepada dia. Tapi, dia sudah menafikan dakwaan mengatakan dia kepingin mahu menjadi Menteri Besar Terengganu.
Orang lain, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, TPM, Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin atau Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin tidak layak. Begitu juga dengan perlantikan jawatan-jawatan penting dalam Perhubungan Umno Negeri, kalau tidak melantik mereka dari kalangan Geng 10, bermakna ‘pemimpin tersebut’ berat sebelah dan tidak memahami politik Terengganu.
Rosol tidak patut mengatakan orang Johor taksub kepada Umno dan itu antara sebabnya orang Johor (Hishammuddin) tidak layak dilantik untuk mengemudikan Umno Terengganu. Rosol tidak cerdik sebenarnya. ‘Standard’ pemikiran Rosol sebenarnya, hanya boleh mengetuai Geng 10, untuk memboikot persidangan DUN Terengganu, lebih dari itu, dia tidak layak.
Jika ada penulis mengatakan Geng 10 cetek pemikiran, Rosol dan Geng 10 kena terima sebab segala cakap-cakap mereka, menunjukkan ‘kelas mana’ mereka berada.
Orang Johor bukan taksub tetapi mereka faham bahawa Umno besar jasanya kepada bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia yang tercinta.
Orang Johor juga yakin kerana Umno, Rosol boleh menjadi Exco dan kini kekal sebagai ADUN Ajil walaupun dia kalah sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu.
Mungkin juga orang Johor tidak tahu, mula-mula Rosol aktif berkecimpung dalam Umno di Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang menghadiahkan dia sebuah pajero.
Cuma, apabila Rosol merasakan dia sudah cukup hebat dan boleh mengoncang pintu istana, dia ‘lupa rumput di bumi ketika merenung bintang di langit.’
Bagi berlaku adil kepada Rosol, di bawah ini disiarkan semula tulisan Rosol yang tersiar dalam blognya http://drosol.blogspot.com.


Thursday, August 20, 2009 Lain Padang...Berbeza Belalang
Salam bloggers...Kita sedang menanti keputusan Pilihanraya DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang. Kempen sedang hangat dijalankan. Masing-masing menjaja visi dan misi untuk rakyat. Saya tidak dapat komen banyak kerana saya tidak lagi berkesempatan ke kawasan tersebut. Tetapi saya dapat ramalkan bahawa keadaannya sama sahaja di mana-mana tempat pilihanraya kecil dijalankan. Ini ujian kedua Timbalan Presiden UMNO selepas Manik Urai. Kalau dikatakan Manik Urai hampir menang, harap-harap di Permatang Pasir ini kita akan menang walaupun dengan majoriti satu undi. Ini harapan kita dan ahli UMNO seluruh negara. Tetapi perlu diingat, harapan akan tinggal harapan jika tidak disertai dengan usaha dan azam yang bersungguh-sungguh. Bercakap tentang harapan, kita di Terengganu Darul Iman juga mempunyai harapan yang menggunung agar UMNO terus perkasa. Terutama di bawah kepimpinan mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Harapan kita agar diadakan program-program memperkasakan UMNO dan BN. Saya katakan demikian kerana masa telah terlalu suntuk untuk pilihanraya akan datang. Sehingga kini saya tidak melihat satu usaha ke arah itu...Mungkin saya tidak terlihat atau tersalah pandang barangkali. Kalu begitu maaflah. Kedatangan Pengerusi ke Terengganu beberapa hari yang lalu dengan kehadiran begitu ramai orang pada saya buka indikator kekuatan UMNO dan BN Terengganu. Strategi sekarang ialah menjaga setiap individu...atau 'head count'...ini lebih penting. Peranan ketua lima perlu diaktifkan semula. Malangnya kita hanya sibuk berpolitik sesama kita. Saya tidak tahu sejauhmana kefahaman Pengerusi Perhubungan tentang senario politik Terengganu. Kalu nak disamakan dengan politik Johor, saya rasa satu kesilapan. Saya bercakap dengan orang kuat UMNO Johor bahawa orang Melayu Johor amat taksub kepada UMNO. Dan ini berbeza dengan Terengganu... ...Lain hulu lain parang...lain padang lain belalang...Fikir-fikirkanlah.... POSTED BY DATO ROSOL WAHID AT 2:44 PM

1 ulasan:

Che Leh Jangok berkata...

Maafkan saya kalau saya menelai keseluruhan tulisan untuk mencari intipatinya.