Oleh Zainal Yusof
citra_bangsa@yahoo.com
TERPANGGIL saya memetik satu parageraf dari tulisan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid (sanusijunid.blogspot.com) dalam Berita Minggu, 23 Ogos 2009 bertajuk ‘Perjuangan Umno sia-sia apabila hak orang Melayu makin terhakis’.
Parageraf yang menarik minat saya ialah ‘Pilihan Raya Umum ke 11 pada 2004 telah memberi kemenangan yang terbaik untuk BN di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kemenangan ini diperoleh kerana rakyat belum mengenal beliau. Selepas mengenali beliau dan keluarganya maka pada 2008 BN kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan selain Pas kekal memerintah Kelantan.’
Dengan menulis fakta sejarah Sanusi yang pernah ‘memalukan’ Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila Kedah hampir-hampir tumbang sewaktu Sanusi menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, rujukan Sanusi dalam menulis satu parageraf di dalam artikelnya tentulah dia menjadikan ‘emosinya’ sebagai rujukan dan bukan buku-buku sejarah atau kajian mendalam.
Kenapa Sanusi ‘memalukan’ Dr. Mahathir? Ini kerana dari 15 kerusi Parlimen di Kedah, BN hanya menang tujuh itupun dua dari tujuh kerusi yang dimenangi itu adalah kerusi BN yang diwakili MCA iaitu di Alor Setar dan Padang Serai.
Saya menunggu jikalau Sanusi mahu menulis buku atau artikel untuk berhujah mengenai ‘rekod buruknya’ ketika menerajui BN di Kedah, tetapi malangnya tidak terjumpa. Dr. Mahathir tentunya ‘terkunci mulut’ apabila mahu bercakap mengenai kekuatan Umno dan BN di Kedah dalam era Sanusi kerana beliau sendiri adalah seorang Ketua Umno Bahagian di Kedah ketika itu dan mewakili Parlimen Kubang Pasu juga di Kedah.
Bandingkan hujah Sanusi bila bercakap soal Melayu Raya, dia menjadikan ‘Memoir Dr. Soeharto – doktor peribadi Sukarno dan bukan Presiden Suharto’. Bila dia menyebut soal Persatuan Ulama Seluruh Aceh dia merujuk ‘Biography Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh oleh Mohd Nur Ibrahimy dan wawancara dengannya) tetapi ketika dia menyentuh soal PRU 12, 2008 dia menjadikan ‘harapan DAP’ agar Abdullah menunggu hingga PRU 13 supaya BN kecundang sebagai bahan ‘rujukannya’.
Sanusi juga menyindir Umno kononnya malu dan segan untuk menyalahkan Abdullah dan keluarganya.
Sanusi tidak menyebut langsung berapa kerusi Umno menang dan berapa kerusi MIC, MCA,Gerakan dan PPP tewas dalam tulisannya ini. Mungkin kerana Sanusi sudah tidak nampak rasional ketika menulis kecuali emosional.
Kenapa Sanusi tidak menyebut ketika Abdullah dan keluarganya belum ada dalam Umno lagi ketika PRU 1969, Perikatan (BN) ketika itu tewas teruk sebagai rujukan? Apakah Sanusi tidak tahu Dr. Mahathir pernah tewas, Tun Zahid Ismail, Tan Sri Senu Abdul Rahman juga pernah tewas ketika Abdullah belum lagi menjadi Perdana Menteri?
Sebagai penulis, saya tidak pernah menjadi Setiausaha Agung Umno seperti rekod yang dicipta Sanusi dalam karier politiknya tetapi tahukah ahli-ahli Umno (termasuk penyokong Umno) bahawa ketika inilah Umno dijatuhkan hukuman sebagai pertubuhan tidak sah?
Rekod Sanusi sebagai pemimpin Umno bukanlah indah sangat. Tetapi seluruh ahli Umno (termasuk penyokong Umno) sudah sedia melupakannya dan sekaligus memaafkannya.
Namun apabila dia cuba menunjukkan ‘hatinya yang tidak bersih’ kepada sejarah dan rekod kepimpinan Abdullah, maka sesuatu perlu disebutkan di sini supaya sejarah negara tidak dirosakkan oleh mereka yang ‘tidak berhati mulia’.
Memang boleh mengakui kelemahan Abdullah ketika semua orang mahu menyanjung jasa dan kemampuan Dr. Mahathir Mohamad tetapi berlaku adillah kepada Abdullah dan keluarganya.
Apakah Abdullah seorang sahaja yang harus dihitamkan rekod kepimpinannya sedangkan Abdullah sebenarnya bukan keseorang menerajui Malaysia – sebaliknya Dr. Mahathir, Sanusi sendiri dan ramai lagi memilih untuk ‘merosakkan Umno’.
Dr. Mahathir dan Sanusi mungin rakan sepasukan. Dr. Mahathir dan Sanusi mungkin seia sekata. Dr. Mahathir dan Sanusi mungkin datang dari satu negeri, Kedah. Tetapi memilih untuk menyerang Abdullah ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno hingga merosakkan Umno adalah tindakan dan perbuatan keterlaluan. Sejarah perlu dirakamkan bahawa mereka ini adalah penyumbang kepada keosakkan dan kekalahan BN dalam PRU 12 yang lalu.
Jika Sanusi masih ingat, Umno juga tidak menyalahkan Dr. Mahathir apabila Kedah tidak menang gemilang dalam era kepimpinan Sanusi dahulu. Ini kerana Umno juga mempunyai sikap segan dan malu seperti yang Sanusi sebutkan dalam tulisannya. Kenapa apabila Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Kedah dan Selangor tewas, Abdullah mahu dipersalahkan?
Kenapa Sanusi melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah selepas keputusan pilihan raya umum ketika itu? Mahukah Sanusi orang ramai yang kecewa dengannya menyenaraikan apakah yang mereka tidak suka terhadap Sanusi ketika menjadi Menteri Besar? Mahukah Sanusi mendengar komentar orang ramai bahawa kedegilan Dr. Mahathir melantik Sanusi yang sudah ditewaskan sebagai Ketua Umno Bahagian Langkawi menyebabkan rakyat Kedah menolak BN?
Saya memegang kata-kata bijak pandai, kalau kita berumah kaca, jangan melontar batu ke laman orang. Kalau orang itu bertindak balas, kelak pecah dinding kaca rumah kita.
Begitu juga dalam menulis. Saya berharap Sanusi menulislah perkara-perkara lebih besar termasuklah sejarah Umno dan Pas, kerana dia adalah bekas Setiausaha Agung dan bekas Naib Presiden Umno.
Kalau dia seorang yang hebat, mustahil Dr. Mahathir tidak memindahkannya ke kementerian-kementerian lain seperti mana Dr. Mahathir pernah memindahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Sejarah membuktikan, jika seseorang itu hebat dan berpotensi menjadi Perdana Menteri, biasanya Perdana Menteri akan memindahkannya ke pelbagai kementerian tetapi jika seseorang itu sekadar dilantik kerana mahu mencukupkan quota kabinet, maka jadilah mereka seperti Sanusi, Tan Sri Mohamad Rahmat, Tan Sri Dr. Abd Hamid Othman dan Tan Sri. Dr. Mohd Yusof Noor.
Berbanding dengan Anwar, dari Kementerian Belia dan Sukan ke Kementerian Pertanian, ke Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan. Najib pula dari Kementerian Belia dan Sukan, ke Pertahanan dan Pelajaran sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Setakat ini dulu pandangan saya. Walau bagaimana pun saya amat mengalu-alukan pandangan lain mengenai tulisan Sanusi ini dan keseluruhan tulisannya jika tidak bercampur aduk dengan emosi, merupakan satu tulisan yang boleh dikatakan baik dan berguna.
Kenapa Sanusi tidak menyalahkan Dr. Mahathir apabila Kelantan dimenangi Pas sejak 1990 dan gagal diambil semula sehinggalah Dr. Mahathir bersara? Kenapa perlu hentam Pak Lah ketika Sanusi mahu muncul semula menjadi pemidato handalan dalam Umno ketika era Ahmad Maslan menjadi Ketua Penerangan Umno ini!
Ahad, 23 Ogos 2009
Kenapa Sanusi ‘hentam’ Pak Lah dalam tulisannya?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
KLU BOLEH SAYA CADANGKAN KELUAR KAN MUKA PAK LAH DARI SENARAI GAMBAR PERDANA MENTERI MALAYSIA..HAHAHA..
Catat Ulasan