Oleh Hassan Md Hussein
TERKEJUT! Khabarnya bukan penyokong DAP, Pas dan PKR sahaja yang terkejut, tetapi penghuni Zoo Taiping juga khabarnya terkejut. Bukan sekali, banyak kali terkejut. Khabarnya para penyokong Pas terkejut paling teruk, tetapi mereka buat-buat tak terkejut kerana takut malu, kalau terkejut lebih-lebih.
Penyokong DAP terkejut juga, tetapi mereka tidaklah seperti kena kejutan. Mereka terkejut dan hampir-hampir terkujat. Mereka terkejut, sama dengan penyokong Pas terkejut, cuma penyokong Pas tidak terkujat seperti penyokong DAP. Mungkin kerana penyokong Pas tak mahu terkejut lebih dari terkejutnya penyokong DAP.
Penyokong PKR pula, terkujat lebih banyak dari terkejut kerana mereka memang sering membuat kejutan hingga menyebabkan mereka sudah tidak tahu nak terkejut lagi atau tidak terkejut, tetapi yang pasti mereka terkujat. Terkujat dengan terkejut, apa bezanya? Dalam terkejut, mereka masih terfikir pula, adakah mereka terkejut atau mereka terkujat!
Yang menjadikan penghuni Zoo Taiping terkejut tetapi tidaklah sampai terkujat ialah membaca berita yang V. Sivakumar menulis surat kepada Paduka Seri Sultan Perak untuk cuba mendapatkan perkenan supaya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ditangguhkan kepada satu tarikh lain.
Alasan V. Sivakumar ialah untuk menjaga keharmonian dan kemuliaan dewan, selain mengelak pertelingkahan dua pihak.
Barangkali, penghuni Zoo Taiping tertanya-tanya, ketika V. Sivakumar memanggil sidang DUN Perak di bawah pokok dahulu, adakah ketika itu, V. Sivakumar turut menulis surat kepada Paduka Seri Sultan untuk mendapatkan perkenan?
Kenapa baru sekarang mahu menulis surat? Strategi apa agaknya ADUN DAP ini kerana baru sekarang mahu mendapatkan pertimbangan semula daripada Sultan berhubung tarikh persidangan DUN yang dijadualkan Khamis ini (7 Mei).
Selama ini, banyak pihak termasuk penghuni Zoo Taiping digambarkan bahawa kuasa Speaker DUN Perak yang dilantik oleh DAP, PKR dan Pas ini terlalu berkuasa hingga tidak langsung sesiapa boleh menyentuhnya. Malahan, dia sudah pun mengumumkan pengantungan Setiausaha Dewan dan membuat perlantikan Setiausaha Dewan yang baru, sedangkan penyandang jawatan Setiausaha Dewan sebenarnya dilantik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan gajinya dibayar oleh kerajaan.
V. Sivakumar juga pada mulanya memberitahu dia tidak diberitahu yang sidang DUN Perak akan diadakan pada 7 Mei 2009 hingga timbul ura-ura mahu memboikot sidang tersebut. Namun, beberapa hari kemudian, mereka mengadakan sidang akhbar memberitahu, tidak jadi memboikot dan seolah-olah mengaku sidang DUN Perak boleh dipanggil walaupun Speaker tidak diberitahu terlebih dahulu.
Ketika mereka seperti tidak mahu mengikhtiraf sidang DUN Perak itu, tiba-tiba Speaker yang mengatakan dia tidak diberitahu untuk memanggil sidang DUN, boleh bertindak menulis surat kepada Paduka Seri Sultan supaya menimbangkan semula tarikh persidangan.
Ini yang mengejutkan banyak pihak, kecuali mereka yang taksub kepada Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang tidak mahu mengaku bahawa dia sudah tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak walaupun dia enggan menyerahkan semula kereta rasmi Menteri Besar, Toyota Cambry yang baru dibeli Kerajaan Negeri.
Kalau tidak tahu dan tidak diberitahu, macam mana Speaker yang bakal direbahkan dalam sidang DUN Perak kali ini kerana Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sudah mengusulkan nama Datuk R. Ganesan sebagai Speaker DUN Perak yang baru boleh tahu yang DUN Perak akan bersidang 7 Mei ini? Baca surat khabar ke? Surat khabar mana yang dia baca?
Maka, V. Sivakumar mahu mencatatkan rekod kerjanya yang terakhir sebagai Speaker DUN Perak ialah menulis surat kepada Paduka Seri Sultan Perak supaya menimbangkan semula tarikh lain untuk mengadakan persidangan DUN Perak ini.
Sepatutnya, kalau Speaker tidak diberitahu yang DUN Perak akan mengadakan sidangnya pada 7 Mei ini, sepatutnya, Speaker yang tahu dia mempunyai kuasa memanggil persidangan DUN, buatlah persidangan di bawah pokok demokrasi yang mereka bangga-banggakan dulu.
Atau sekarang V. Sivakumar sudah tahu, dia sebenarnya tidak mempunyai kuasa seperti yang dia sangkakan dia terlalu berkuasa! Terkejut lagi.
V. Sivakumar sepatutnya tidak perlu bersusah payah sekarang kerana jangkaan hayat jawatannya sudah sampai ke penghujung, hingga terpaksa menghantar kenyataannya yang difaksimile ke pejabat-pejabat akhbar, hanya untuk memberitahu dia Speaker DUN Perak yang terpaksa mendapatkan perkenan Paduka Seri Sultan kerana dia sudah tahu yang dia tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memanggil atau menangguhkan sidang DUN Perak. Di sini, mungkin suda kurang kejutan.
Cukuplah! Hentikan lawak jenaka ini. Para penyokong Pas, DAP dan PKR janganlah terkejut lama sangat kerana mereka sedang keliru sekarang, adakah Speaker yang berkuasa atau Sultan Perak yang berkuasa? Apa kerja dan tugas Setiausaha Dewan yang V. Sivakumar lantik ketika persidangan di bawah pokok dulu? Ada gaji ke?
Rabu, 6 Mei 2009
Kenapa sekarang baru nak tulis surat kepada Sultan?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan