Selasa, 22 Oktober 2013

PRK Dun Sungai Limau

Pendidikan Agenda Calon BN


CALON BN Dewan Undangan Negeri N20 Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Lazim berikrar akan memberi tumpuan isu pendidikan, jika beliau terpilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Ikrar ini ditujukan kepada pengundi DUN Sungai Limau, yang mempunyai anak dan keluarga, bahawa dengan pendidikan sahajalah yang mampu merobah kehidupan di masa depan.

Dr Ahmad Sohaimi boleh berikrar sedemikian kerana beliau sendiri mempunyai pendidikan tinggi, berjawatan baik sebelum ini  untuk menawarkan diri bertanding mewakili BN. Beliau mempunyai empat dari enam anak yang sudah menjejakkan kaki ke menara gading.

Pengundi DUN Sungai Limau beruntung, jika mereka meletakkan kepentingan pendidikan demi masa depan anak-anak mereka, dengan mengundi BN dalam PRK DUN Sungai Limau, 4 November depan.
Inilah kelebihan BN. BN berkuasa di peringkat Pusat dan BN berkuasa di peringkat Negeri Kedah. Apa yang dijanjikan, akan ditunaikan, sedangkan mereka yang mewakili parti-parti pembangkang, hanya boleh menabur janji tetapi tidak mampu untuk memenuhi janji tersebut.

Hanya pengundi DUN Sungai Limau tahu apa yang mereka mahu. Hanya pengundi DUN Sungai Limau yang mampu melakukan perubahan demi masa depan mereka. Jika mereka sayangkan anak-anak mereka, tentulah mereka memilih BN sebagai pilihan mereka.

Memetik ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, petang Isnin 21 Oktober lalu, ketika mengumumkan calon BN di Bilik Gerakan BN, antara Umno dengan PAS banyak persamaan. Jika PAS mendakwa mereka membela Islam, Umno juga membela Islam.

Malahan, pembelaan Umno terhadap Islam lebih jelas dari apa yang PAS lakukan. Kalau disenaraikan pembangunan Islam yang BN buat, PAS tidak akan mampu menafikannya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Tun Dr Mahathir sendiri sudah membuktikan bahawa beliau meletakkan kepentingan Islam mengatasi kepentingan lain.

Beliau sering mengingatkan pekerja-pekerja pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Limau, supaya berkempen secara sederhana, berhemah dan tidak menimbulkan suasana tegang. Islam menuntut umatnya berkelakuan baik dan bukan bermusuh-musuhan.

Datuk Paduka Mukhriz juga mahukan semua pengundi bersatu dan bertaut kembali sebaik sahaja selesai PRK DUN Sungai Limau, kerana beliau tidak mahu pilihan raya kecil dan kempen-kempen yang dijalankan menyebabkan masyarakat bermusuh dan berpuak-puak.

Perwatakan Datuk Paduka Mukhriz ini mengambarkan ajaran Islam sebenar, walaupun beliau tidak berserban dan berkopiah sepanjang masa.
Ada orang, yang berpakaian ala Islam tetapi berperangai yang tidak mengambarkan mereka itu sebagai seorang muslim sejati.

Salah satu sebab Dr Ahmad Sohaimi sanggup memperjudikan nasibnya menjadi calon BN di DUN Sungai Limau kerana kagum dengan sikap dan kata-kata yang ditunjukkan Datuk Paduka Mukhriz.

Inilah masanya untuk pengundi DUN Sungai Limau memilih BN bagi membuktikan mereka menghargai kepimpinan seorang pemimpin muda yang menjadi idola anak-anak muda, iaitu Datuk Paduka Mukhriz.

Tiada ulasan: