Ahad, 10 Jun 2012

BR1M kedua : Betul ke Pemuda PAS sokong?


Oleh Wan Yusof Wan Ngah




BERITA mengatakan Ketua  Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nasarudin Hassan menyatakan sokongan kerajaan jika memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M kedua), macam sukar untuk saya percaya.

Pertama, setahu saya, PAS tidak akan menyatakan sokongan kepada semua usaha kerajaan, sama ada ia baik untuk agama, baik untuk bangsa atau baik untuk negara – sebab PAS perlu menjaga hati dan perasaan rakan komponen Pakatan Rakyat (PR), terutamanya DAP dan PKR.

PAS selama ini, kalau baik dilakukan kerajaan, mereka akan kata mesti ada sebab kenapa kerajaan melakukan itu. Kalau kurang baik, mereka akan serang habis-habisan. Maknanya, PAS tidak boleh menjadi rasional hanya kerana mereka memang mahu diskredit semua yang kerajaan buat. Jika ada kemalangan jalan raya, mereka mulalah menyalahkan Umno kerana membina jalanraya.

Tetapi ketika mereka menggunakan jalan raya yang kerajaan bina untuk pergi berceramah memaki kerajaan, tidak pula mereka ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana kebijaksanaan kerajaan membina jalan menyebabkan mereka boleh pergi berceramah memaki Umno dan kerajaan.

Dari segi logik akal, PAS sepatutnya tidak perlu memuji apa sahaja yang Umno buat kerana mereka sampai hari ini memang tidak sanggup berimamkan orang Islam yang menyokong Umno kalau bersembahyang. Perkara ini masih berlaku di kampung-kampung kerana Tok Guru mereka mengajar, haram makan sembelihan orang Islam yang menyokong Umno.

Mereka juga yakin bahawa tidak sah sembahyang berimamkan orang Islam yang menyokong Umno dan berlakulah sembahyang dua imam. Orang PAS hanya yakin, jika menyokong PAS, barulah sempurna keIslaman seseorang dan jika mengundi PAS, Tok Guru mereka menjanjikan syurga, walaupun baru-baru ini Tok Guru mereka sudah menafikan.

Nafilah seribu kali, tetapi memang mulut Tok Guru mereka menjanjikan syurga jika mengundi PAS. Dulu mereka kutuk Umno kerana berkawan dengan orang Cina dan India, kini, mereka menyokong semua  dan semua yang mereka kutuk Umno, sudah dikembalikan kepada “muka mereka sekarang”.

Dulu mereka kata mahu menegakan negara Islam. Maka, bermati-matianlah orang PAS menyokong perjuangan parti itu. Malangnya selepas ramai penyokong mereka meninggal dunia dengan keyakinan bahawa PAS mahu menegakan negara Islam, kini mereka menukarkan slogan parti mereka, mahu menegakan negara berkebajikan.

Habis orang PAS kena tipu dengan kepimpinan PAS. Yang dah mati tak sempat nak bertaubat kerana mereka juga pernah berbohong dengan kawan-kawan dan anak beranak mereka bahawa sokonglah PAS kerana PAS mahu menegakan negara Islam.

Para pemimpin PAS yang menjanjikan kepada penyokongnya yang sudah mati itu, tak sempat nak minta maaf kerana mereka buat janji palsu dengan penyokong mereka. Pun, sehingga kini, ada orang yang masih mahu menyokong PAS yang pembohong ini.

Hari ini, bila Ketua DPPP, Nasarudin Hasan mengatakan dia menyokong BR1M kedua, saya macam susah nak percaya kerana mereka sokong usaha baik kerajaan itu atau mereka sokong orang PAS ambil duit RM500 itu, kemudian diarahkan menderma kepada PAS RM50. Tentulah bersebab mengapa Nasarudin menyatakan sokongan itu. Mustahil, sokong tidak bersebab.

Tiada ulasan: