Rabu, 25 April 2012

Dakwaan Kerajaan Terengganu Rampas Tanah Tidak Benar - Ahmad Said

Kerajaan Negeri tidak merampas tanah rakyat sebaliknya memperkenalkan dasar pendemokrasian tanah di Terengganu. Maksudnya setiap kepala keluarga dianugerahkan melalui permohonan, sebidang tanah, sama ada lot tapak rumah atau tanah pertanian. Bagi yang terpaksa berpindah kerana tanah diambil balik untuk pembangunan pula, kerajaan menyediakan pampasan dan bantuan perpindahan selain menyediakan kediaman untuk mereka yang terbabit. Pemimpin PAS menjawab soalan wartawan selepas menyerahkan memorandum semalam. Kerana itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam menolak dakwaan sekumpulan penyokong PAS bahawa kerajaan negeri merampas tanah rakyat. Dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar sama sekali, katanya. "Ia tidak betul, kita sudah semak tanah yang dikatakan dirampas kerajaan Barisan Nasional (BN), contohnya tanah tapak Sekolah Rendah Islam Darul Bayan, Paka, Dungun. Tanah berkenaan asalnya satu lot tanah seorang pemimpin Umno. Kemudian pemimpin itu minta satu lot lagi, tetapi ia ditolak oleh kerajaan BN pada masa itu. "Bila tanah itu kosong, ketika PAS menang pilihan raya umum 1999 di Terengganu, ia dipohon oleh orang PAS untuk buat sekolah sebagai tanah tol iaitu tanah milik sementara. Sebagai tanah tol, pemilikan itu perlu disambung dari setahun ke setahun," katanya. Bagaimanapun, katanya, pada 2004 apabila Terengganu diperintah semula oleh kerajaan BN, individu berkenaan tidak menyambung pemilikannya ke atas tanah itu. "Ia kemudiannya dimohon oleh orang lain sebagai tanah milikan tetap dan kerajaan membenarkan ia dijadikan tanah lot dengan lima geran yang sah dikeluarkan kepada lima pemohon berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan negeri ekoran sekumpulan penyokong PAS mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu selepas sidang DUN petang semalam. Mereka kemudian menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar. Ahmad Said berkata kumpulan berkenaan juga tidak puas hati dengan pengambilan balik tanah di Kampung Banggol Donas melibatkan pembinaan jalan baru dari Kampung Banggol Tuan Muda ke Gemuruh. Beliau berkata kerajaan telah membayar pampasan selain menyediakan tapak rumah baru untuk mereka sebagai ganti tapak lama. "Orang lain yang teribat semuanya sudah berpindah, hanya sekelompok 20 orang PAS ini yang tidak mahu pindah. Takkan kerana dia tak mahu pindah menyebabkan pembinaan jalan lebih RM200 juta terbengkalai," katanya. Mengenai tanah di Ketengah Jaya, Menteri Besar berkata kerajaan belum memutuskan apa-apa mengenai kedudukan tanah itu. Dipetik dari http://teganuku.blogspot.com/

Tiada ulasan: