Rabu, 22 Februari 2012

Sirih Pulang ke Gagang

Oleh Wan Yusoff Wan Ngah



TAHNIAH! Saya nak ucapkan tahniah kepada seorang pejuang yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah. Dari seorang kanak-kanak miskin dengan adik-beradik yang ramai, akhirnya Datuk Mokhtar Samad berada di kedudukan yang cukup tinggi sekarang.

Beliau terpilih menjadi Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu. Kini, beliau juga merupakan penceramah motivasi terkenal dan kejayaan yang dicapainya kini menjadi ikutan ramai peniaga-peniaga.

Datuk Mokhtar yang pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, pernah dikenakan tindakan disiplin dari Jawatankuasa Disiplin. Tetapi, kesetiaannya kepada kebenaran dan perjuangan menyebabkan beliau dilantik menjadi Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak tidak lama dahulu.

Dulu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abd Samad pernah dikenakan tindakan disiplin. Beliau tenang menghadapi hukuman. Akhirnya, beliau kembali mengetuai Umno Bahagian Teluk Kemang dan terpilih menjadi ADUN Bagan Pinang.

Kini, Perdana Menteri melantiknya menjadi Pengerusi Felda dan Umno Negeri Sembilan melantiknya menjadi Ketua Penerangan Umno Negeri.

Kepada Datuk Mokhtar Samad pula, satu jawatan khas diberikan kepadanya. Jawatan itu dikenali dengan nama Ketua Pentadbir Umno Bahagian Bandar Tun Razak.

Perlantikan ini bolehlah diibaratkan sebagai ‘bagai sirih pulang ke gagang” kata beberapa orang Umno yang ditemui di bahagian ini. Kata mereka, mereka amat merindui kepimpinan dan cara Datuk Mokhtar menguruskan pentadbiran Umno bahagian.
Betullah kata bijak pandai, apabila timbul kebenaran, yang batil akan lenyap dengan sendirinya. Walaupun diserang siang dan malam, walaupun dihimpit dengan pelbagai fitnah, walaupun dikatakan tidak mampu memimpin, hari ini, pucuk pimpinan parti nampak bahawa Datuk Mokhtar adalah pemimpin sebenar yang sepatutnya diberikan amanah untuk terus menerajui Umno bahagian tersebut.
Parlimen Bandar Tun Razak dimenangi PKR dalam PRU 12 yang lalu. Ini disebabkan perpecahan yang tidak berkesudahan di bahagian ini sejak sekian lama. Kali ini, harapan BN untuk kembali menguasai Parlimen bandar Tun razak dilihat semakin cerah jika Datuk Mokhtar diberi kepercayaan untuk mengetuai jentera BN.
Beliau seorang yang berpengalaman. Banyak membantu orang yang memerlukan bantuan. Banyak memberi sokongan dan idea kepada mereka yang berminat untuk terjun dalam dunia perniagaan dan yang lebih penting, pengalaman Datuk Mokhtar dari seorang kanak-kanak miskin hingga boleh menjadi insan berjaya, memang patut dikongsi oleh ramai orang.
Pendedahannya di luar negara dalam lawatan sambil belajar dan beberapa perkongsian perniagaan dengan negara luar juga mendedahkan Datuk Mokhtar Samad kepada ilmu perniagaan yang sebenar. Ini adalah antara asam garam yang mengindahkan lagi latar belakang kehidupannya.
Hari ini, apabila beliau dilantik menjadi Ketua Pentadbir Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Pejabat Umno Bahagian Tun Razak yang pernah diindahkannya akan menjadi lebih bermakna dengan kehadirannya semula. Semua AJK Umno Bahagian akan beruniform ketika menghadirkan diri untuk bermesyuarat dan setiap AJK bahagian diberikan tugas untuk melayan rakyat jelata setiap hari secara bergilir-gilir.
Kata Datuk Mokhtar kepada beberapa AJK yang bertanya kepadanya kenapa mesti ada jadual bertugas kepada AJK, beliau menjawab; “Kita bertanding kerana mahu berkhidmat. Sekarang, terimalah amanah ini untuk menjalankan perkhidmatan,”
Cara Datuk Mokhtar ini seharusnya menjadi contoh kepada bahagian-bahagian lain di seluruh Malaysia. Orang Umno mesti disantuni setiap masa. Jangan mereka tidak dipedulikan dan jika ada uatmengira masa.
Mungkin ada seorang dua dari kalangan AJK Umno Bahagian Bandar Tun Razak tidak berminat dengan cara bekerja Datuk Mokhtar.

Tetapi Datuk Mokhtar sering memberitahu mereka bahawa kita semua kena berubah. Minda kena berubah, cara kena berubah dan tindakan juga kena berubah. Jika tidak, seperti kata Perdana Menteri, kita semua akan rebah!

Berubah jika tak mahu rebah sentiasa tertanam dalam jiwa Datuk Mokhtar. Dalam dunia perniagaan juga begitu, katanya. Kalau kita masih dengan cara lama, kita akan ketinggalan. Lebih malang, kita akan rebah dan orang yang berubah akan maju.

Orang Umno dalam Bahagian Bandar Tun Razak bolehlah membuat kenduri kesyukuran dengan berita ini. Mereka dianugerahkan Allah dengan seorang pemimpin yang bermula dari bawah dan cukup banyak pengalaman.

Bagi yang menyokong secara senyap-senyap, bolehlah sedekah pisang ke masjid hari Jumaat nanti. Ini kerana kedatangan Datuk Mokhtar ke Umno Bahagian Bandar Tun Razak akan membawa satu era baru kepada Umno dan masyarakat setempat.

Tiada ulasan: