Rabu, 1 Februari 2012

Marah benar Khalid Samad pada Hasan Ali

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)




TENTU pembaca masih ingat, salah satu doa yang sering dibaca Tok Jangngut Nik Aziz Nik Mat ialah supaya Umno ini bergaduh sama sendiri dan berpecah belah. Malahan, ada doanya yang lebih dahsyat, minta pecah perut orang-orang Umno.

Hari ini, doa yang sering dibaca oleh orang PAS itu terbalik kepada parti mereka sendiri. Kini, orang PAS sedang bergaduh sama-sama sendiri, paling jelas dan ketara antara Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Kata Dr. Hasan, jangan beri satu undi pun kepada Khalid Samad dalam pilihan raya akan datang kerana sikap Khalid terhadap Islam dan dia disifatkan oleh Dr Hasan sebagai parasit yang akan memusnahkan PAS.

Serentak dengan itu, Khalid menyifatkan Dr Hasan sebagai “berpihak kepada Umno” kerana jika menyeru supaya jangan memberi undi kepadanya, tentulah meminta undi diberikan kepada Umno. Itu yang saya baca dalam Utusan Malaysia hari ini. Sama ada betul atau tidak kata-kata Khalid itu, saya tidak tahu tetapi saya yakin, Khalid marah betul dengan Dr. Hasan.

Di kalangan blogger Umno, Khalid Samad ini digelar Khalid Gereja. Sebab apa dia digelar Khalid Gereja, saya tidak pasti. Tetapi, sejak sekian lama, sejak Shah Alam digembar-gemburkan dengan cerita arak dan di Selangor ada cerita orang Islam yang hendak dimurtadkan, nama Khalid Samad cukup popular dengan gelaran-gelaran seperti ini.

Hari ini, PAS kena hadapi semua ini. Doa yang ditadahkan dan diaminkan oleh mereka yang taksub kepada Tok Janggut dan pemimpin-pemimpin mereka yang tebal serbannya dan panjang janggutnya, sudah diterbalikkan.

Dr Hasan masih ahli PAS walaupun sudah dipecat kerana dia tidak menyertai mana-mana parti lain. Dari segi pendaftarannya, mungkin dia bukan ahli PAS lagi tetapi dari segi semangatnya, dia memang sayangkan PAS kerana katanya, dia impikan PAS yang dipimpin oleh ulama.

Tidaklah diketahui berapa ramai yang akan bertindak meninggalkan PAS secara perlahan-lahan, tetapi PAS kali ini nampaknya terancam betul. Walaupun beberapa pemimpin PAS yang ego mengatakan kesan yang diterima parti mereka hanya sedikit dan kecil, tetapi, ramai yang melihatnya mengakui PAS benar-benar tergugat kini.

Dari segi logik akal, individu yang keluar dari mana-mana jemaah tidak akan menang kalau menentang jemaah. Tetapi dalam isu Dr Hasan dengan PAS, ia bukan sangat pasal keahlian tetapi para simpatisan. Ramai juga yang mengundi PAS kerana rasa simpatinya kepada parti itu. Dan kini, saya yakin para simpatisan ini perlahan-lahan meninggalkan PAS.

Pemimpin Umno sendiri, kalau berceramah nak cari 200 orang mendengarnya, pun susah. Nak himpun 500 orang, terlalu sukar. Tetapi kalau Dr Hasan berceramah, ada 1,000 orang datang mendengar, kepimpinan PAS kena “ambil perhatian”.

PAS jangan ingat Mahfuz Omar popular. Dia menang di Parlimen Pokok Sena kerana bantuan orang-orang Umno kepadanya. Kalau tidak kerana Umno Bahagian Pokok Sena berbalah, mustahil Mahfuz boleh menang di kawasan itu.

Jadi, kalau Mahfuz buat komen kepada Dr Hasan, jangan sesiapa membandingkan pengaruh Dr Hasan dengan Mahfuz sama. Begitu juga dari segi pelajaran dan kelulusan, jangan sesiapa membandingkan kelulusan Dr Hasan dengan Mahfuz. Silap besar kalau sesiapa membandingkan kedua-dua tokoh ini.

Orang Umno Pokok Sena yang mengundi Mahfuz kerana mereka diupah dan dijanjikan. Tapi bukan Mahfuz yang upah dan bukan Mahfuz yang janjikan apa-apa, tetapi sama-sama mereka. Mereka mahu menjatuhkan Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim dari kerusi Parlimen Pokok Sena, dalam PRU 12 yang lalu.

Khalid Samad pun menang di Shah Alam bukan kerana dia hebat sangat tetapi orang (pengundi) di Shah Alam menolak Tan Sri Aziz Shamsuddin yang bertanding kali kedua di kawasan itu. Aziz bukan orang tempatan dan orang Shah Alam mahukan seorang anak tempatan, kalau boleh orang Selangor bertanding di kawasan elit itu.

Kali ini, kalau orang Umno Shah Alam yang bertanding, tidak mustahil akan menang. Lebih-lebih lagi dengan kempen yang dijalankan Dr Hasan ini, sudah pasti pengundi semakin faham sekarang ini, dalam PAS, mereka yang lantang berucap terlalu takut dengan DAP dan PKR.

Kalau isu arak dan gereja pun mereka (orang PAS) tergagap-gagap digertak oleh orang DAP dan PKR ini?

Betul kata Datuk Ustaz Zainal Sakom yang berucap di Perhimpunan Agung Umno tidak lama dahulu, kalau orang bertanya pasal “cucur badak” adakah mereka nak tahu pasal cucur (kuih) atau badak (binatang)? Pakar Bahasa Malaysia mengatakan, ia mahu tahu mengenai kuih (cucur).

Maknanya, cucur badak itu adalah kuih dan bukan binatang. Kalau ada orang bercakap pasal Parti Islam SeMalaysia (PAS), adakah mereka mahu bercakap mengenai parti atau Islam. Maka, jawab pakar Bahasa Malaysia, tentulah parti.

Jadi, seperti kata Dr. Hasan, PAS itu parti dan bukan agama. Temberanglah mereka yang bercakap dengan mengatakan Islam itu PAS dan PAS itu Islam kerana PAS adalah sebuah parti yang pernah didaftarkan dan bukan agama.

Memetik kata-kata Datuk Mohamad Aziz, Ahli Parlimen Sri Gading Johor dalam satu ucapannya di Kuala Sanglang di Arau, Perlis baru-baru ini, bahasa Islam bukan perlu didaftarkan seperti PAS yang perlu didaftarkan untuk bergerak di negara ini.

Kalau PAS itu agama, kenapa perlu didaftarkan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS)? Betul juga hujah Datuk Mohamad Aziz itu. Tetapi apakah orang PAS sedia menerimannya kerana mereka mungkin ingat masuk PAS macam masuk Islam dan keluar dari PAS macam keluar dari Islam.

Kalau PAS betul-betul mengamalkan ajaran Islam, mereka tidak akan melaksanakan pemecatan Dr Hasan seperti yang mereka lakukan baru-baru ini.

Kalau PAS betul-betul mengamalkan ajaran Islam, mengapa mereka tidak perbetulkan kata-kata Tok Janggut dari Kelantan yang mengatakan Nabi Mohammad SAW sama seperti mamat-mamat di kampungnya ketika kecil?

Kalau betul PAS sebuah parti yang menjaga nama Islam, tidak mungkin mereka sanggup menjadi alat kepada DAP dan PKR yang jelas tidak dapat membangunkan Islam sebagaimana Umno dan Barisan Nasional (BN) membela dan membangunkan Islam.

Semoga Dr Hasan akan mendedahkan banyak lagi kelemahan PAS kerana kalau cerita ini datangnya dari orang Umno, penceramah Umno, orang PAS dan para simpatisan PAS tidak mungkin mahu terima dan tidak mungkin mahu percaya.

Tetapi apabila datangnya dari mulut seorang bekas Naib Presiden PAS dan bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, mereka yang tidak mahu percaya pun, kenalah berfikir dua atau tiga kali untuk menolaknya.

Masalah orang PAS ni, mereka taksub. Mereka hanya belajar agama dari kalangan orang PAS sahaja. Jadi, pengetahuan dan ilmu yang dia dapat mungkin dari pelawak-pelawak dan bekas penyanyi rock yang sudah bersara. Kesihan orang PAS dan kesihan para simpatisan PAS ini.

Tiada ulasan: