Selasa, 7 Februari 2012

Bertafakur, berkabung dan gila talak PAS/DAP/PKR Perak

Oleh Zainal Yusof



PAS Perak, Mohd Nizar Jamaluddin dan DAP Perak bertafakur, berkabung dan macam orang gila talak bila mereka mengerumuni pokok demokrasi, di mana mereka pernah mengadakan persidangan DUN Perak yang tidak mengikut undang-undang di situ, pada 6 Februari, genap 3 tahun mereka hilang kuasa.


Yang menyedihkan, Pesuruhjaya PAS Perak, seorang Ustaz yang tidak usahlah saya sebut namanya di sini, kerana dia bukan wakil rakyat, tetapi hanya orang kepercayaan Hadi Awang, turut bertafakur bersama-sama pemimpin DAP.
Biarlah mereka bertafakur kerana mustahil mereka tidak tahu apa hukumnya sebagai seorang Islam, mereka tidak perlu ikut keagamaan DAP yang benar-benar terasa kehilangan kuasa tersebut, tetapi disebabkan Ustaz ini ada bersama-sama, siap dengan pakaian baju berwarna hitam, macam orang Cina menghadiri hari kematian, maka eloklah orang Melayu yang beragama Islam di Perak, renungkan sedalam-dalamnya apa sudah jadi PAS sekarang ini.
Di Johor, ada ketua PAS kawasan telah masuk ke pasar babi hanya kerana mahu membahagi-bahagikan limau mandarin, kononnya mahu menunjukkan bahawa PAS tidak kisah dengan pasar babi dan pas mesra pengundi Cina di pasar babi.

Ustaz yang mengetuai PAS di Perak, janganlah sampai macam tu sekali. Biarlah Mohd Nizar sahaja yang diperkudakan oleh DAP, Ustaz yang tidak menjadi YB dan tidak pernah menjadi MB Perak atas sokongan DAP, tidak usahlah terikut-ikut semua perkara ni.
Kalau takut sekali pun dengan DAP di Perak di bawah ketuanya Ngeh dan Nga, janganlah sampai maruah bangsa Melayu digadaikan dengan begitu murah. Usah begitu ya Ustaz. Walaupun Ustaz mungkin mengatakan ia tidak salah, tetapi sudah-sudahlah menjadi alat DAP.

Dulu, budak-budak Ustaz berguling-guling atas jalan raya. Budak-budak DAP tidak berguling pun. Siapa yang kehilangan kuasa ni Ustaz? DAP atau PAS yang menjadikan PAS macam orang gila talak. Ustaz tahu kisah orang gila talak?
Kalau Ustaz tidak tahu, saya nak ceritakan. Tapi saya percaya Ustaz tahu kisah orang gila talak. Dulu, Mohd Nizar yang sudah tidak menjadi MB Perak, buat mesyuarat Exco di kediaman rasmi Menteri Besar.

Kereta rasmi Menteri Besar pun dia tidak mahu serahkan. Akhirnya, ternyata perbuatannya mengadakan mesyuarat Exco tidak memberi apa-apa makna. Kecuali orang yang gila talak sahaja yang buat kerja-kerja “sudah bercerai, tetapi tidak tahan dengan rindu”.
Kereta rasmi Menteri Besar pun yang peringkat awal tidak mahu diserahkan kembali, terpaksa diserahkan juga secara senyap-senyap. Maklumlah, malu juga “jika bukan isteri kita, tapi kita usung ke hulu ke hilir”.
Saya tidak mahu ustaz masuk Umno dan menyokong BN. Sebab Umno dan BN sudah mempunyai penyokong yang kuat dan bila-bila pun boleh menang semula di Perak. Sokonglah PAS kerana Ustaz mempunyai keyakinan bahawa PAS adalah sebuah parti yang mendokong Islam.
Itu keyakinan dan kepercayaan Ustaz. Saya tidak menghalangnya Ustaz. Teruskan. Mudah-mudahan, keyakinan dan kepercayaan Ustaz itu akan membawa Ustaz kepada kejayaan dunia dan akhirat.
Tetapi, saya ingin nak ingatkan Ustaz, jangan sesekali jadi manusia yang mengadaikan maruah dan harga bangsa dan agama dengan begitu mudah. Kenapa Ustaz bertafakur bersama-sama Mohd Nizar dan pemimpin-pemimpin DAP?
Janganlah Ustaz. Dulu, masa kecil-kecil, Ustaz diajar oleh guru-guru Ustaz begitukah? Boleh bertafakur dan boleh berkabung dengan memakai baju hitam bersama-sama orang Cina yang menyokong DAP ini?
Kalau nak cari undi sekali pun Ustaz, tidak usahlah sampai begitu rendah maruah kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam. Kalau Ustaz suruh orang-orang DAP pakai songkok haji macam Ustaz pakai, mereka sanggup pakai ke Ustaz? Jangan buat lagi ya Ustaz!
Biarlah mereka berkabung. Biarlah mereka meneruskan aktiviti mereka di pokok demokrasi itu. Mereka hilang kuasa Ustaz tetapi Melayu di Perak tidak hilang kuasa. Ustaz tahukan bahawa selepas Mohd Nizar tidak lagi menjadi MB Perak, YAB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menjadi MB Perak.
Kalau Ustaz bandingkan ketika zaman Mohd Nizar menjadi MB Perak selama 11 bulan, nyata di bawah Dr Zambry, keadaan sudah jauh berbeza. Bantuan kepada rakyat, khususnya orang Melayu, Cina dan India lebih menyeluruh.
Bila yang Ustaz tahu bahawa DAP ini sesuai berkawan dengan PAS? Sejak dahulu atau baru-baru ini, iaitu selepas PRU 12 yang lalu? Kalau baru-baru ini Ustaz tahu, berundurlah Ustaz daripada “gandingan palsu ini”. Ia tidak kekal dan ia tidak akan menguntungkan Melayu dan Islam.
Saya tidak kisah kalau Mohd Nizar nak keluar dari PAS dan masuk DAP kerana dia memang sesuai duduk dalam DAP.
Ustaz tidak sesuai. Ustaz hanya sesuai masuk PAS dan jika sudah tidak mahu duduk dalam PAS, boleh mohon masuk Umno. Saya tidak sokong Ustaz masuk Umno kerana saya tidak minat dengan Ustaz kerana Ustaz mudah sangat bertafakur bersama-sama pemimpin DAP, tetapi kalau Ustaz mahu juga masuk Umno atau mahu menyokong Umno, saya tidak ada hak menentangnya.
Tapi bagi saya, orang macam Ustaz lebih elok jika terus berada di dalam PAS. Ini pandangan saya sahaja Ustaz. Saya tidak ada jawatan dalam Umno dan saya tidak ada pengaruh dalam Umno. Saya hanya penyokong Umno kerana saya nampak Umno berbuat baik kepada rakyat, walaupun PAS menafikannya.

Mata orang PAS Ustaz, sudah dibutakan. Mereka tidak nampak kebaikan yang Umno buat. Mereka tidak merasai kenikmatan yang Umno berikan. Mereka hanya belajar menafikan kerja baik yang orang Umno buat.

Itu sebabnya, saya berharap (malahan saya berdoa) agar ustaz terus berada di dalam PAS kerana Ustaz jenis manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan melalui perjuangan Umno.

Umno tidak memerlukan orang seperti Ustaz. Yang memerlukan orang seperti Ustaz ialah DAP. Ustaz janganlah mengizinkan diri Ustaz dipergunakan begitu dahsyat. Bertafakur kerana DAP kehilangan kuasa ini Ustaz macam orang yang ditinggalkan isteri menyebabkan mereka gila talak.

Nanti, saya bimbang, tetapi saya yakin Ustaz tidak akan melakukannya, berguling-guling di atas jalan raya. Jangan buat ya Ustaz. Biarlah mahasiswa universiti yang menyokong PAS, menyokong DAP dan menyokong PKR melakukannya. Ustaz jangan buat ya!

Tiada ulasan: