Khamis, 3 November 2011

PPSMI: Keputusan muktamad, kata Muhyiddin

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) muktamad, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mengulas desakan beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Muhyiddin berkata, tidak akan diadakan sebarang perbincangan lagi memandangkan kerajaan sudah pun memutuskan bagi memansuhkan dasar itu pada 2009.

“Ia sudah pun diputuskan oleh Kabinet pada 2009 selepas dibincangkan di banyak peringakt, telah diluluskan di Parlimen, malah disokong oleh pembangkang. Tiada reaksi negatif ketika itu. Saya tidak tahu mengapa ia dibawa kembali,” kata beliau lagi.

“Kemungkinan mereka (pihak yang mendesak) sudah ketinggalan zaman,” kata beliau sambil menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan satu kumpulan kecil.

Sambil berkata perkara itu sudah ditutup, Muhyiddin(gambar) yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, “orang ramai boleh mendesak dan menuntut apa yang mereka mahukan, kita sebuah negara demokrasi, tetapi keputusan kerajaan adalah muktamad.”

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan PPSMI harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Katanya, sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

PAGE sebelum ini mendesak kerajaan agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

PAGE juga menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya kelmarin.

Muhyiddin juga percaya dasar MBMMBI yang dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang
.

(Dipetik dari http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ppsmi-keputusan-muktamad-kata-muhyiddin/)

Tiada ulasan: