Isnin, 27 Disember 2010

U. Malaysia : Idris diberi peranan penting di Pusat?

Oleh Ahmad Hj Ishak







RUANGAN Analisis Utusan Malaysia, Isnin 27 Disember 2010 bertajuk Siapa bakal menerajui Umno di lima negeri? Menarik perhatian.

Tanpa mengambil kira di empat buah negeri lain, apa yang perlu diulas ialah satu parageraf tulisan itu yang berbunyi; ‘Walaupun terdapat ura-ura bahawa Datuk Seri Idris Jusoh akan dipilih (baca: sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu) namun ia boleh dianggap sekadar spekulasi semata-mata memandangkan bekas Menteri Besar itu dikatakan akan diberikan tanggungjawab lebih besar di peringkat Pusat.’
Apa yang menarik dengan ayat tersebut? Menarik kerana spekulasi menyebut Idris akan diberikan tanggungjawab lebih besar di peringkat Pusat. Sebab apa mahu memberikan Idris tanggungjawab lebih besar?
Mungkin kerana jasa-jasa Idris memboikot persidangan DUN Terengganu setahun yang lalu dan baru-baru ini, dia berdiam diri sepanjang Sidang DUN Terengganu hingga ada blogger menyifatkannya sebagai dilanda sindrom bisu.
Apakah kerana perangai seorang bekas Menteri Besar yang begitu teruk, maka dia akan diberikan tanggungjawab yang lebih besar di peringkat Pusat?
Sepatutnya (baca: sewajarnya) Idris digugurkan dari menjadi calon dalam pilihan raya akan datang dan jika boleh, jawatan yang disandangnya sekarang, Pengerusi MARA bolehlah diserahkan kepada orang lain yang lebih bertanggungjawab dari Idris.
Apa salahnya jika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menamakan Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis menggantikan Idris, juga dilihat lebih wajar.
Kesetiaan dan idea manrik Shahidan jarang diberi publisiti dan sokongan tetapi Shahidan diyakini mampu membawa MARA ke arah yang lebih menarik dari MARA di bawah Idris.
Jika Najib tidak berminat untuk melantik Shahidan, kenapa tidak cuba memberi peluang kepada Datuk Seri Mhdzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah? Apa kurangnya kehebatan Mhdzir jika dibandingkan dengan Idris.
Jika Idris yang terkenal sebagai orang Pak Lah boleh diberikan jawatan Pengerusi MARA, apa bezanya Shahidan dan Mhdzir. Mereka semua adalah orang Pak Lah yang setia, sama setianya dengan Idris.
Dari segi rekodnya, Shahidan tidak pernah memboikot persidangan DUN walaupun beliau dijatuhkan dari kerusi Menteri Besar secara tidak bermaruah.
Begitu juga Mhdzir. Beliau tidak pernah diserang sindrom bisu ketika berada di dalam Persidangan DUN Kedah.
Pemimpin seperti ini tidak pula diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan. Orang yang terlibat dengan memboikot Persidangan DUN Terengganu, tidak pernah menghadirkan diri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ketika Datuk Seri Ahmad Said dilantik menjadi pengerusi dahulu, mahu diberikan tanggungjawab lebih besar di peringkat Pusat.
Apakah politik Umno dan BN mahu dijahanamkan dengan tindakan-tindakan seperti ini? Mesti membuat onar, mesti memboikot persidangan DUN dan mesti tidak menghadirkan diri setiap kali badan perhubungan Umno negeri bermesyuarat barulah diberikan jawatan penting di Pusat?
Tetapi, kalau berhemah, buat baik dan memberi sumbangan kepada rakyat seperti apa yang dilakukan oleh Shahidan, tiada siapa yang memperdulikannya.
Kalau jadi seperti Mhdzir, pun tidak ada sesiapa yang nampak kebolehannya – berbanding dengan Idris yang terlalu banyak melakukan perkara-perkara yang tidak menguntungkan Umno dan BN, maka ada tanggungjawab yang lebih besar hendak diberikan kepadanya di peringkat Pusat?
Dunia politik Umno sudah bercelaru barangkali. Bayangkan, kalaulah betul Idris dilantik semula menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (seperti yang spekulasikan Utusan Malaysia) bererti hayat politik Umno dan BN Terengganu sudah sampai ke penghujungnya.
Adalah lebih baik Najib menyingkap rekod dan catatan kelakuan Idris dengan Geng 10 Budak Hitam yang merosakan imej Kerajaan Negeri Terengganu, Umno dan BN.
Malahan, sehingga ke Persidangan DUN Terengganu yang terbaru dari 13-16 Disember 2010, Idris masih membisu bersama-sama penyokong setianya, Datuk Rosol Wahid (BN-Ajil), Datuk Din Adam (BN – Bukit Besi) dan Mohd Pehimi Yusof (BN- Kota Putera).
Mereka berempat, seperti berpakat. Mereka berempat seperti ada aku janji. Mereka berempat seperti ada masalah yang sama. Mereka berempat sanggup melihat pembangkang menyerang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Kerajaan Negeri, tanpa memainkan peranan sebagai ADUN dari BN.
Apakah berita ketidak wajaran sikap mereka berempat ini diketahui oleh Perdana Menteri? Jika tahu, Najib tidak sewajarnya memberikan tanggungjawab lebih besar kepada Idris di Pusat kerana memberi tanggungjawab di Pusat kepada Idris seolah-olah melayan ugutannya.
Umno memerlukan pemimpin yang ikhlas dan jujur. Bukan mereka yang menggugut untuk mendapatkan jawatan.
Tindak-tanduk Idris itu adalah tindak tanduk orang yang menggugut untuk mendapatkan sesuatu.
Ketika dia menjadi Menteri Besar, dia tidak pernah memperdulikan orang lain. Berapa kali Najib diundang ke Terengganu selama dia menjadi Menteri Besar? Sehingga ada cerita mengatakan, Idris cuba menghalang jika ada mana-mana bahagian yang bercadang mahu mengundang Najib datang ke Terengganu.
Sejauh mana kebenaran cerita itu, tiada siapa yang dapat membuktikannya, tetapi Najib boleh semak semula jadual dan kekerapannya berkunjung ke Terengganu dalam era kepimpinan Idris dahulu.
Ini semua dilakukan oleh Idris kerana dia mahu membuktikan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, dialah penyokong nombor satu Pak Lah di Terengganu!
Lupakanlah Idris ini! Sudahlah melayan karenahnya. Jika perlu, tariklah semua jawatan yang disandangnya dan jangan melayan kehendaknya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam..

Saya rasa itu adalah pendapat sdr. yg dangkal dan jumud dan taksub terhadap kem tertentu yg saya rasa kemelut dan isu dah pun selesai lama. Daripada itu sya pikir kemelut dendam kesumat, sakit hati ,iri hati yg tiada kesudahan dengan ulasan yang berulang-ulang. Apa agenda tu?. Hj. Idris dah lamapun menerima apa yg berlaku, tetapi sdr. saudara berpersangka begitu buruk, sedangkan tiada apa yg pelik yg berlaku sebagaimana tuduhan jelek sdr. Saya pikir saudaralah yg sebenarnya memainkan isu yg sebenar tidak wujud pun. Ianya cuma bersarang di minda saudara semata-mata. Mungkin Hj. Idris bersalah besar kerana mengembalikan dan merampas Terengganu drp PAS, Bersalah besar juga kerana mempertahankan Terengganu dalam tsunami politik yg lalu. Kalau sdr. pun tidak mampu membuat justifikasi terhadap apa yg berlaku, saya rasa sdr sama sekali tidak layak untuk memperkatakan dan mempersoalkan kepimpinan peringkat negeri maupun pusat.

Pemimpin adalah seorang pemikir yang mampu melontarkan idea-idea utuk kesejahteraan rakyat (meminjam kata-kata Tun Mahathir). Apakah salah Hj. Idris membina IMTIAZ, Program Terengganu Bersih, Taman Tamaddun Islam, Monsson Cup, Khutbah Multimedia. Kalau itu semua boleh dipikirkan oleh semua orang, saya pikir sdr. pun layak jd MB (tp MB kerajaan PAS ajelah). Bukan utk mengangkat Hj. Idris, tp tak salah sebagai umat Islam mengenangkan kebaikan-kebaikan yg telah beliau lakukan.

Lihat pada masa PAS memerintah Terengganu, tiasa sesiapa pun sanggup menjadi Ketua perhubungan pada masa itu, kecuali Hj. Idris yang begitu Optimistik yg sanggup memikul dan menggalas bebanan ini sehinggalah membuahkan hasil dengan gerakan GELOMBANG BIRU. Jangalah hendaknya kita sebagai orang Islam, org bg bunga kita bg taik. Tapi itulah hakikatnya yg berlaku seperti pencacai-pencacai politik seperti sdr. yg menulis atas kapasiti penulisan bebas yg penuh dengan nafsu besar yg berselindung. Saya minta maaf kiranya coretan ini tak sehebat penulisan saudara yg penuh dengan tuduhan tidak berasas dan mainan persepsi semata-mata.