Oleh Abdul Rahim Sabri
Perubahan kepimpinan Umno Terengganu dilihat sebagai peluang terbaik  untuk Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mententeramkan gelora politik  Umno di negeri itu, sekiranya jawatan timbalan ketua perhubungan negeri  diisi oleh tokoh yang boleh diterima oleh puak-puak yang bertelagah  sekarang.Ahmad  (kiri) kini merupakan timbalan ketua perhubungan negeri itu dan  dijangka dilantik menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai  ketua Umno  Terengganu.
Terengganu adalah antara lima  negeri yang akan bertukar pucuk pimpinannya sepertimana yang diumumkan  oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu perhimpunan agung  Umno Oktober lalu.
Empat negeri lagi ialah Wilayah  Persekutuan Kuala Lumpur,  Kedah, Pulau Pinang dan Selangor - semuanya  di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. 
Selepas  pilihan raya umum 2008 - dalam usaha merampas semula negeri-negeri  berkenaan - perdana menteri sendiri menerajui Umno Selangor dan timbalan  presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilantik mengetui Umno  Wilayah.Manakala  tiga naib presiden Umno - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin  dan Datuk Seri Shafie Apdal - masing-masing dilantik menerajui Umno  Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah.
Menurut  sumber-sumber, jawatan timbalan ketua perhubungan Umno Terengganu perlu  diisi oleh seorang tokoh yang boleh diterima kumpulan menteri besar dan  bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) - sebagai penghubung  antara dua puak yang bertelagah itu.
"Cakap-cakap di  kalangan akar umbi ialah jawatan timbalan ketua perhubungan Umno negeri  akan diserahkan kepada exco kanan yang dilihat berpengalaman, iaitu  Ahmad Razif Abd Rahman," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ahmad  Razif yang juga ADUN Seberang Takir memegang portfolio jawatankuasa  pelajaran, pengajian tinggi, sains, teknologi dan sumber manusia.
Sumber-sumber  itu berkata, Ahmad Razif dilihat berkemampuan untuk membantu menteri  besar 'mententeramkan' gelora politik Umno negeri.
Satu  lagi nama yang disebut-sebut mungkin dilantik sebagai timbalan ketua  perhubungan negeri ialah Datuk Ahmad Shabery Cheek yang merupakan ahli  parlimen Kemaman dan menteri belia dan sukan.
"Sesiapa pun boleh (jadi timbalan pengerusi) tapi dia mesti dilihat menjadi pembantu kepada pengerusi.
"Kalau  dia bagus, tapi 'tak ngam' dengan pengerusi, tak jadi juga... Kalau  pemimpin (berada) di peringkat pusat, dia berada jauh, tak dapat  membantu dalam (pentadbiran) negeri," kata sumber itu lagi.
Di  Kedah, timbalan ketua perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Bashah Md  Hanipah dijangka dilantik menggantikan Shafie manakala Datuk Mukhriz Mahathir dijangka mengisi tempat Ahmad Bashah.Pemilihan  Mukhriz - yang juga ahli parlimen Jerlun dan timbalan menteri  perdagangan antarabangsa dan industri - dilihat sebagai asas untuk  menarik pengundi terutama sekali golongan muda. 
Malah  14 daripada 15 Pemuda Umno bahagian di negeri itu mencalonkan beliau  merebut jawatan ketua Pemuda Umno pusat, dalam pemilihan parti itu dua  tahun lalu.
Selain Mukhriz, sumber-sumber Umno negeri  itu berkata, menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir  Baharom dan Ketua Umno bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz  Sheikh Fadzir juga dilihat berpeluang mengisi jawatan nombor dua itu.
Kedua-duanya adalah anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dilantik.
Bagaimanapun,  kata sumber-sumber itu, Umno negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan  pucuk pemimpin untuk memilih calon yang terbaik untuk jawatan tersebut.
"Kami menerima sesiapa sahaja, asalkan mereka (bakal timbalan ketua perhubungan) dapat membantu ketua perhubungan. 
"Fokus kita untuk memenangi pilihan raya dan seterusnya menawan semula Kedah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
--malaysiakini
Selasa, 21 Disember 2010
T'ganu: Peluang MB damaikan Umno negeri
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan