Isnin, 29 November 2010

SMS Menteri Besar Letak Jawatan – Apakah Idris Jusoh juga Anugerah Tuhan kepada Terengganu?

Oleh Zamzuri Damanhuri






MEMBACA blog http://hambali1.blogspot.com hari ini membuatkan saya rasa perlu ada satu siasatan atau ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja apakah yang sebenarnya ada dalam benak (otak) mereka yang tidak habis-habis menyerang Mentteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

http://www.kampungku.com.my/images/Ahmad%20Said.jpg
Atau, adakah keputusan Istana Terengganu untuk tidak melantik semua Datuk Seri Idris Jusoh selepas PRU 12, Mac 2008 yang lalu suatu kesilapan kerana Idris Jusoh dianggap oleh mereka yang menyokongnya sebagai ‘anugerah Tuhan kepada Terengganu’?

Di Kuala Lumpur, ramai yang bercakap Idris sudah dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Malaysia menggantikan Datuk Ahmad Maslan. Ada juga yang mengatakan disebabkan Idris ini pakar strategi, dengan dibantu bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Dr. Ramzi sudah dilantik menjadi Pengarah (IT) pilihan raya Malaysia – dengan kerjasama ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam.

Apa yang hebat Idris ini di mata Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Kalau dia hebat sangat, kenapa Sultan Terengganu tidak mahu dia dilantik semula menjadi Menteri Besar Terengganu?

Datuk Seri Mohd Najib perlu tahu, Idris ini budak Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kalau Datuk Seri Mohamad Zin Mohamad, Datuk Idris Harun dan beberapa lagi orang Tun Abdullah tersingkir sebaik sahaja Najib angkat sumpah menjadi PM.

Sepatutnya Idris kena sama. Sedikit sebanyak apa yang berlaku di Terengganu dan mungkin memberi saham kepada keputusan PRU 12 yang menjunam, barangkali ada kaitan dengan apa yang berlaku di Terengganu sewaktu Idris menjadi MB.

Malangnya, Najib dan Muhyiddin mudah sangat terpengaruh dengan kertas kerja Idris. Di kalangan orang Umno, mereka tahu Idris seorang ‘kaki jual kertas kerja’. Bukan sedikit Ibu Pejabat Umno kena bayar dengan Idris untuk membuat lapuran kawasan-kawasan yang berpotensi menang dan berpotensi kalah.

Sebenarnya, BN Terengganu menang dalam PRu 11, Mac 2004 bukan kerana pengaruh atau strateji yang disusun Idris. Kalau ada orang yang bercakap itu adalah gerak kerja atau idea Idris, ia suatu pembohongan. Idris sendiri tidak perlu berbohong dengan cerita kemenangan BN di Terengganu menumbangkan PAS kerana strateginya. Mustahil, tanpa kerja kuat ketua-ketua bahagian di Terengganu, BN Terengganu boleh menang semula.

Idris layak untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Besut! Ini jelas kerana tiada siapa di Terengganu cemburu dengan apa yang sudah Idris lakukan di Besut. Malahan, jika Idris mahu dirikan Ibu Pejabat MARA di Besut, jika mendapat keluluasan PM dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, pun orang Terengganu tidak cemburu.

Jika Najib sudah tahu yang Idris bukan penyokongnya sejak azali lagi dan Najib boleh melihat balik rekodnya, berapa kali beliau dijemput ke Terengganu sepanjang Idris menjadi MB, sudah boleh diukur bagaimana kuatnya Idris mengampu Tun Abdullah hingga menafikan langsung hak Najib untuk ke Terengganu.

Begitu juga Muhyiddin. Janganlah kerana ada proposal yang tebal dibawa oleh Idris bertemu dengannya, dia terus bersetuju dengan idea dan strategi Idris. Umno berjaya dan kuat sebelum ini bukan kerana strategi dan kertas kerja Idris. Idris boleh membuat kertas kerja dan proposal serta menyusun strategi untuk Besut dan tidak lebih dari itu.

Tetapi, jika ada orang termasuk PM dan TPM yang terpengaruh dengan kertas kerja, proposal dan cerita Idris, ini merupakan satu kesilapan besar. Termasuklah ada orang yang mula percaya bahawa Najib sudah mencadangkan kepada Yang DiPertuan Agong nama Idris untuk menjadi Menteri Kewangan tetapi ditolak, juga bukan cerita benar.

Orang-orang Idris, tidak tahulah termasuk Din Adam, Dr. Ramzi dan Datuk Rosol atau tidak memang terlalu yakin dengan kebolehan Idris mencipta tamadun – tetapi orang yang dah biasa kena temberang dengan Idris, hanya ketawa dari jauh.

Najib boleh menghantar spy dan penyiasat ke Terengganu. Berjumpalah dengan beberapa bekas Pegawai Kerajaan Negeri yang terkorban dan teraniaya di tangan Idris ketika dia menjadi Menteri Besar. Siang dan malam mereka mendoakan agar Idris juga ‘terkorban’ sebagaimana mereka dikorbankan oleh Idris.

Kalau ada pun yang suka lagi kat Idris, hanyalah Geng 10 atau 10 Budak Hitam yang tidak cukup akal dan tidak sempurna akalnya. Mereka tidak rasa bersalah memboikot Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mereka juga tidak berasa bersalah memfitnah dan memburuk-burukkan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said.

Di Terengganu, Umno tidak bergolak. Tetapi sengaja dinampakkan sebagai bergolak hanya kerana mereka yang membuat onar ini mahu menampakkan bahawa Datuk Seri Ahmad Said tidak mampu menjadi Menteri Besar.

Di Terengganu, BN tidak ada masalah. Tetapi beberapa orang ADUN yang merupakan penyokong tegar Idris mencipta masalah hingga menampakkan BN di Terengganu tidak aman dan tidak tenang. Inilah yang menyebabkan PM dan TPM terpengaruh hingga menukarkan Datuk Seri Ahmad Said dari menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin pula, melantik orang-orang yang memusuhi Datuk Seri Ahmad menjadi orang-orang penting di kelilingnya. Sebelum dia mengadakan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri, Idris Jusoh dirujuknya berkali-kali seolah Idris itu Umno Terengganu dan Umno Terengganu itu Idris Jusoh.

Ini bukan cerita kosong. Ini kenyataan Hishammuddin sendiri. Banyak kali Hishammuddin keluarkan kenyataannya dalam akhbar, “saya sudah bercakap dengan Datuk Seri Idris dan boleh dikatakan setiap hari saya berhubungan dengan Datuk Seri Idris…” yang ketika itu berada di luar negara, kononnya pergi kursus tetapi ada orang yang bercakap, Idris mungkin mengatur strategi.

Idris boleh terus mengetuai Umno Besut. Itulah yang paling layak. Jadi, untuk Terengganu, PM dan TPM usahlah banyak membuang masa, melayan budak-budak jahat dengan cerita-cerita buruk mengenai Datuk Seri Ahmad Said.

Tarikh Pilihanraya Umum sudah tidak jauh lagi. Jika Datuk Seri Ahmad tidak diberikan kepercayaan dan sokongan dari Kuala Lumpur untuk mengemudikan Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, mana mungkin beliau mempunyai cukup masa untuk melakukan sesuatu bagi menjamin kemenangan BN di Terengganu dengan lebih cemerlang lagi dari keputusan PRU 12 yang lalu.

PM dan TPM, tolaklah jauh-jauh budak-budak jahat, tidak kiralah budak-budak itu tinggi atau rendah ukurannya kerana mereka tidak cukup akal hingga menyebabkan Umno dan BN di Terengganu kelihatan sentiasa bergolak dan berkocak – padahal, mereka yang menyebabkan keadaan bergolak dan berkocak.

Tiada ulasan: