KEMAMAN, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said memberi  amaran kepada penjawat awam di Terengganu supaya tidak menyalah guna  kuasa, jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan undang-undang.
 Beliau berkata beliau menerima aduan dan laporan bahawa terdapat  perbuatan  salah guna kuasa dalam beberapa jabatan kerajaan negeri.
 "Saya beri amaran, jika berterusan perkara ini berlaku, saya sendiri  akan turun bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membuat  pemeriksaan mengejut," katanya ketika ketika berucap pada majlis  perjumpaan bersama penjawat awam bagi Daerah Kemaman pada Ahad.
 "Kita memikul amanah, jadi kita perlu berhati-hati dalam apa jua  tindakan kita, jangan sampai kita diheret ke penjara kerana gagal  melaksanakan amanah.
 "Saya juga mahu semua urusan rakyat disegerakan dan jangan dilengahkan.  Malah kita harus beri perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat," katanya.
 Mengulas lanjut kepada pemberita kemudiannya, Ahmad berkata beliau  telah  memaklumkan mengenai aduan salah guna kuasa tersebut kepada ketua  jabatan berkenaan.
 Beliau turut meminta penjawat awam tidak mensabotaj kerajaan dengan  menyebarkan dakyah yang tidak betul mengenai dasar-dasar kerajaan.
 -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan