Sabtu, 17 Julai 2010

4 ADUN BOIKOT MUHYIDDIN?

Oleh Hassan Md Hussein

SETIU : Kalau kit abaca berita dari akhbar selama ini, kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein sering bercakap, Umno Terengganu sudah tidak ada masalah lagi.
Semua sudah selesai, kononnya. Tetapi apa yang berlaku Jumaat, 16 Julai 2010 yang lalu, membuktikan ia tidak benar. Hishammuddin bercakap tidak benar atau, Hishammuddin dilaporkan dengan laporan tidak benar.
Laporan tidak benar ini adalah laporan bohong. Soalnya siapa yang berbohong? Malulah kalau Hishammuddin nak dikaitkan dengan cerita bohong ini.
Memetik laporan Bernama, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kesal dengan ketidakhadiran empat ADUN dalam kawasan Parlimen Setiu, ke Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Umno Bahagian Setiu.
Yang tidak hadir itu ialah, ADUN Jabi, Ramlan Ali, ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh, ADUN Langkap, Asha’ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.
Timbul pertanyaan, kenapa empat ADUN ini tidak hadir? Mereka nak protes apa? Mereka nak marah siapa? Apakah mereka boikot Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin? Atau mereka nak tunjuk yang mereka masih tidak dapat menerima kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said? Atau mereka marahkah Ketua Umno Bahagian? Atau mereka berpakat empat orang nak tunjukkan bahawa Geng 10 Budak Hitam masih wujud? Atau mereka sebenarnya memboikot Hishammuddin?
Mereka berempat ini adalah ADUN. ADUN adalah wakil rakyat. Wakit Rakyat di mana-mana orang panggil Yang Berhormat atau YB. Tapi, sayangnya mereka tidak bijaksana. Mereka tidak cerdik. Mereka tahu mereka tidak akan mampu dikenakan tindakan selagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh bersama-sama mereka.
Jika sesiapa yang mendengar ucapan Muhyiddin, dengan lantang beliau mengatakan bahawa jika ada masalah, selesaikanlah secara bijaksana. Maknanya, keempat-empat ADUN yang dilihat bermasalah ini, memang tidak bijaksana tetapi mungkin mereka bijaksini. Sana mereka tidak bijak, tetapi sini mereka bijak.
Tidak habis-habis mereka bermain politik. Masalah peribadi mereka bawa Umno sekali terpalit dengan lumpur. Parti yang banyak berjasa kepada diri mereka berempat tidak mereka hormati hingga mereka tidak dapat merasakan bahawa apa yang mereka dapat hari ini adalah kerana Umno.
Menteri Besar sudah membantu mereka ini. Kawasan yang mereka wakili tidak jauh ketinggalan dari kawasan yang Menteri Besar wakili. Mereka dapat peruntukan dari kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, tetapi mereka tidak bijaksana.
Malangnya, Umno Pusat tidak ada kemampuan untuk mengambil tindakan ke atas mereka ini. Dulu, kalau tak silap, mereka pernah memboikot persidangan DUN tetapi tiada tindakan dikenakan terhadap mereka.
Ada orang beritahu, berkali-kali juga MB Terengganu hadir di majlis dalam DUN Jabi, namun ADUN Jabi, Ramlan Ali tidak menghadirkan diri. Apa masalah budak ni?
Satu cerita lagi, ADUN Paka, Zakaria Abdullah juga tidak menghadirkan diri di majlis Umno Bahagian Dungun. Pun, tiada tindakan boleh dikenakan terhadapnya kerana khabarnya dia punya boss sekarang ini, Datuk Din Adam, ADUN Bukit Besi yang sudah dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Hishammuddin.
Umno Terengganu perlu diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said memimpinnya. Hishammuddin perlu melepaskan jawatannya dan cadangkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya melantik semula Datuk Ahmad menjadi Pengerusi. Mudah beliau hendak menjalankan tugasnya sebagai ketua kerajaan dan ketua parti.
Budak-budak yang buat kerja memboikot ini kena diambil tindakan. Tidak perlu pecat dari Umno tetapi tengok-tengokkan kawasannya dan jika perlu lantik ‘YB baru’ secara tidak rasmi menjalankan tugas menggantikan penderhaka kepada Umno ini – termasuklah di kawasan PAKA.
Umno sebenarnya tidak perlukan keempat-empat ADUN ini seperti mana ADUN-ADUN ini tidak perlukan Umno.
Muhyiddin perlulah lebih serius untuk memikirkan jalan untuk menyelamatkan Umno dari disabotaj oleh ADUN daripada memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan 4 ADUN yang memboikot majlis perasmian yang dihadirinya.
Idris Jusoh dan Rosol Wahid jangan ‘lontar batu sembunyi tangan’ dalam kes seperti ini kerana rekod mereka menubuhkan Geng 10 Budak Hitam masih belum terpadam lagi.

Tiada ulasan: