Isnin, 31 Mei 2010

Syarahan Barry Wain, UM diminta sedia laporan


Universiti Malaya diarah menyediakan laporan terperinci mengenai program syarahan Barry Wain, berhubung perbincangan bukunya yang bertajuk "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times".

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata meskipun universiti mempunyai kuasa untuk memutus dan menganjurkan sebarang program di dalam kampus masing-masing mengikut budi bicara Naib Canselor, namun garis panduan dan tatacara jelas perlu disediakan.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan program berbentuk akademik yang dianjurkan kelak tidak lari daripada matlamat asal dan dijadikan platform untuk agenda individu tertentu.

"Hal ini penting agar kebebasan akademik yang dimiliki oleh universiti tidak disalahgunakan bagi mereka yang berkepentingan," katanya kepada Bernama.

Menurut Khaled, adalah tidak wajar dan bertentangan dengan budaya, amalan dan norma akademik berasaskan keilmuan dan kebenaran jika syarahan itu mempunyai motif dan tujuan menjatuhkan kredibiliti seseorang pemimpin terutamanya negarawan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara.

Forum itu didakwa telah disalahgunakan oleh individu tertentu untuk dijadikan sebagai medan menghentam Dr Mahathir, Umno dan orang Melayu.

Menurut Khaled, universiti tidak perlu merujuk kepada kementeriannya berhubung perkara itu dan Naib Canselor boleh menilai kewajaran sesuatu program yang dianjurkan, termasuk program berbentuk syarahan.

Beliau mengulas mengenai forum anjuran Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) Universiti Malaya (UM) bagi membincangkan buku karya Barry Wain itu, selepas majlis penyampaian surat kelulusan penubuhan, pendaftaran IPTS dan pendaftaran Ketua Eksekutif Universiti Antarabangsa Inti, di Putrajaya hari ini.


--malaysiakini

Tiada ulasan: