Selasa, 11 Mei 2010

Negara Islam: BN buat 'pukulan maut' pada DAP

Dengan kempen pilihan raya yang masuk hari ketiga, BN dan pakatan pembangkang kini bertumpu kepada isu negara Islam dengan kedua-dua pihak mencabar pendirian masing-masing berhubung perkara itu.

Ia merupakan suasana yang berbeza memandangkan kebiasaaannya isu tempatan mengatasi isu nasional dalam pilihan raya Sarawak. BN diwakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mengambil pendirian tegas berhubung isu itu dan sebaliknya mencabar DAP sama ada sama ada parti itu menyokong negara Islam seperti yang dibawa rakannya PAS.

"Ini merupakan cabaran kami kepada DAP. Mereka asyik bercakap mengenai perubahan. Kami mahu mereka nyatakan sama ada mereka sokong sebuah negara Islam.

"Kami mahu pemimpin DAP, jika mereka benar-benar serius bagi membawa masa depan yang lebih baik bagi Sarawak, mereka mesti umumkan bahawa mereka tidak mahu sebuah negara Islam ala PAS," kata ketua publisiti SUPP Sibu Daniel Ngieng pada sidang akhbar sempena pilihan raya kecil di Sibu hari ini.

Ngieng mendakwa bahawa rakyat di Sibu tidak menerima PAS atau rakan-rakan lain DAP seperti PKR dan bahawa ceramah (perhimpunan politik) yang diadakan oleh pemimpin PAS dan PKR setakat ini tidak mendapat sambutan.

"Apa yang orang lihat di semenanjung adalah berbeza dengan apa yang orang di Sarawak lihat pada sesuatu perkara. Kita merupakan dua masyarakat yang berbeza," katanya.

Beliau juga mempersoal kenapa pemimpin DAP begitu takut dengan konsep 1Malaysia kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya mahu menyatupadukan semua kaum, tanpa mengira budaya, agama dan latar belakang.

Poster mee kampua sindir DAP

"Kenapa DAP begitu takut dengan 1Malaysia. Adakah kerana mereka mempunyai fahaman berbeza mengenai Malaysia, sebelum ini Malaysian Malaysia dan kini Middle Malaysia?

Cabaran dari SUPP datang semasa kedua-dua pihak bersiap sedia untuk menarik sokongan pengundi di Sibu, terutama kaum Cina yang merupakan 67 peratus pengundi di kawasan itu.

Berdasarkan keputusan sebelum ini, hanya kira-kira 38 peratus pengundi kaum Cina menyokong BN di kawasan itu berbanding dengan 75 sehingga 85 peratus daripada masyarakat Melayu/Melanau.

Papan iklan dipasang di bandar hari ini, dengan yang paling menojol sekali ialah gambar Mee Kampua (kanan) dengan tulisan "Satu Undi bagi DAP merupakan satu undi bagi sebuah negara Islam" cara yang halus untuk memberitahu pengundi, terutama masyarakat Foochow di sini bahawa mereka mungkin kehilangan hidangan mee tradisional terkenal itu jika pakatan pembangkang berkuasa.

"Kampua merupakan hidangan popular Foochow yang mengandungi bahan babi. Memandangkan majoriti di sini adalah Foochow, kami berharap dengan berbuat demikian, ia boleh menghantar isyarat jelas kepada pengundi mengenai isu negara Islam," kata Ngieng.

Penasihat DAP Lim Kit Siang, pada sidang akhbar parti di sini hari ini, mengakui bahawa "BN telah memberikan satu pukulan maut" dengan menyentuh isu negara Islam melalui slogan yang berkesan ("Satu Undi Untuk DAP merupakan satu undi bagi sebuah negara Islam").

Tidak pernah nyatakan Malaysia negara sekular

"Kami kini menghadapi keadaan yang lebih sengit dalam berkempen. Jika kami tidak dapat pulih, kami akan tewas," katanya.

Lim (kanan) berkata bahawa kerana strategi ini beliau dan Pengerusi DAP sekarang Karpal Singh tewas dalam pilihan raya umum pada 1999, di mana beliau tewas di Bukit Bendera dan Karpal Singh di Jelutong (kedua-duanya kerusi Parlimen di Pulau Pinang).

"Di semenanjung, strategi ini mungkin tidak berjaya sekarang tetapi di sini keadaannya berbeza," katanya sambil memberikan contoh pilihan raya kecil Bukit Gantang di mana para pengundi di kampung baru Cina di Kuala Sepetang memberi sokongan hebat kepada calon PAS dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Para pemimpin DAP mengakui bahawa isu itu telah meletakkan mereka dalam keadaan bertahan dan kerana itu kenapa mereka membawa Nizar bagi menjelaskan isu itu kepada para pengundi melalui sesi ceramah parti.

Mereka juga mendakwa bahawa sejak 10 tahun kebelakangan ini kepimpinan teratas SUPP tidak pernah menyatakan pendirian mereka sama ada Malaysia merupakan sebuah sebuah negara sekular.

Bagaimanapun, Ketua SUPP Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh (kiri) menolak pandangan Lim mengenai "pukulan maut" itu sambil berkata bahawa parti itu menganggap ia sebagai "perang saraf" sambil mengingatkan agar BN tidak terperangkap.

"DAP memang bijak dalam memanipulasi isu. Mereka boleh membuat gambaran bahawa jika sesuatu yang buruk berlaku di Sibu, ia merupakan kesilapan SUPP. Mereka akan membawa pelbagai isu setiap kali pilihan raya diadakan.

"Itu yang sebenarnya berlaku pada 1982 di mana Tan Sri Wong Soon Kai tewas kepada lawannya dari DAP," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: