Isnin, 24 Mei 2010

Mahkamah tolak permohonan Sivakumar


Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menolak permohonan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang disingkirkan, V Sivakumar, untuk mengenepikan keputusan membenarkan tiga ADUN yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel tiga hakim, membatalkan permohonan Sivakumar selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam ketiga-tiga wakil rakyat serta peguam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang bertindak sebagai pencelah.

Zulkefli dan dua lagi hakim iaitu Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong, sebulat suara memutuskan bahawa Sivakumar gagal mengemukakan peruntukan undang-undang yang digunakan sebagai asas permohonannya.

Beliau juga berkata permohonan Sivakumar adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan isu yang dibangkitkan pada prosiding hari ini telahpun dipertimbangkan sepenuhnya dan diputuskan dalam penghakiman oleh panel Mahkamah Persekutuan yang lain sebelum ini.

Zulkefli berkata perkara itu adalah berhubung pendapat kehakiman oleh panel terdahulu dan ia tidak mewajarkan mereka (panel hari ini) mengetepikan keputusan tersebut walaupun sekiranya mereka tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Selain itu, Sivakumar juga diperintah membayar kos sebanyak RM10,000 kepada ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan dan RM10,000 kepada SPR.

Ter
dahulu, panel itu menolak permintaan Sivakumar yang mahu mereka menarik diri daripada mendengar permohonannya atas alasan mereka telah mendengar kes yang mempunyai perkara berkaitan.

Pada 9 April tahun lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mengisytiharkan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai ADUN bagi ketiga-tiga kawasan.

Osman dan Jamaluddin, bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak dan Hee, dari DAP, meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional, sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan pakatan PAS-PKR-DAP di Perak.

Korum itu juga memutuskan bahawa SPR adalah badan yang berhak mengisytiharkan kekosongan sesebuah kerusi di Perak, dan bukannya speaker Dewan Undangan Negeri Perak iaitu Sivakumar.

Mahkamah tersebut juga, pada 8 April tahun lalu, telah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa mendengar kes ketiga-tiga wakil rakyat yang dirujuk secara langsung kepadanya dari Mahkamah Tinggi Ipoh mengikut Perkara 63 Perlembagaan Perak berhubung isu perlembagaan iaitu siapa yang berkuasa mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak.

M
enerusi notis usul yang difailkan pada 19 April lalu, Sivakumar mendakwa beliau berhak, di bawah undang-undang, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 9 April yang terbatal kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Ketika mencabar keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu bidang kuasa, Sivakumar berkata mahkamah tersebut telah secara tidak selaras dengan perlembagaan atau kaedah-kaedah prosedur, menganggap ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Beliau mendakwa Mahkamah Persekutuan telah tersalah tafsir Perlembagaan Persekutuan apabila memutuskan bahawa undang-undang di bawah Perlembagaan Perak adalah undang-undang Persekutuan yang membolehkan bidang kuasa diberikan kepada Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 121(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Hafarizam Harun, peguam yang mewakili ketiga-tiga wakil rakyat, dalam bantahan awalnya, menggesa mahkamah membatalkan permohonan Sivakumar atas alasan ia penyalahgunaan proses mahkamah dan cacat dari segi prosedur.

Peguam Chan Kok Keong yang mewakili Sivakumar pula berkata panel itu mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan Sivakumar berhubung hujah mengenai bidang kuasa.

- Bernama

Tiada ulasan: