Khamis, 6 Mei 2010

Berapa Juta Pula Dapat?



Oleh Ahmad Hj Ishak

TULISAN saya sebelum ini yang bertajuk ‘Alahai Blogger dan Kisah Ahli Parlimen Dungun’ yang tersiar dalam blog www.citra-bangsa.blogspot.com yang kemudiannya dipetik oleh www.lesungbatu.webs.com yang ditukar tajuknya menjadi ‘Jailani Tolong Sampaikan Rasa Kecut Ahli Parlimen Dungun Dengan Ketua Bahagian’ mendapat komen keras dari seorang pelayar blog ‘lesung batu’ yang mengunakan nama Zakwan2010.

Tulis Zakwan2010…macamlah Terengganu selama ini tiada pembangunan langsung dan berapa juta pula citra-bangsa dapat dengan menghentam sesama ahli parti.

Pertama-tama, saya ingin menjemput perhatian Zakwan2010 dan semua pelayar blog ini agar turut melayari blog www.hambali1.blogspot.com dan blog www.teganuku.blogspot.com yang turut menyiarkan tulisan berkaitan isu ini dengan tajuk ‘Jai, Langkah Pertama Anda Sudah Silap’ yang juga berkaitan dengan tulisan sebelumnya dalam blog ‘teganuku’ dengan tajuk ‘Jai, Adillah Dalam Membuat Ulasan’.

Satu pertanyaan timbul di benak saya, kenapa bila kita mempertahankan seseorang dari serangan jahat, kita akan dianggap sebagai ‘menerima juta ringgit’ tetapi dalam masa yang sama, mengapa penulis yang memulakan serangan tidak langsung dipersoalkan berapa juta pula yang dia dapat?

Apakah dunia begitu zalim? Apabila ada yang kena serang, mangsa serangan ini tidak dibenarkan mempertahankan diri.

Atau, memang menjadi budaya orang kita, mereka yang menyerang dianggap sebagai hero manakala bagi yang mempertahankan diri dianggap penjahat?

Isunya di sini, seorang blogger (penulis) tiba-tiba mengajak Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri melihat apa yang mereka anggap buruk telah berlaku di Dungun.

Maka, penulis (blogger) itu menyerang Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan. Serangan ini dilakukan oleh seorang blogger dengan ‘backingnya’ seorang Ahli Parlimen.

Apakah blogger yang bernama Jailani Harun dan Ahli Parlimen Dungun bernama Matulidi Jusoh adalah ‘hero’ dalam situasi ini manakala Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan dianggap sebagai penjahat kerana ada blogger mempertahankan dirinya dari fitnah dan serangan jahat tersebut?

Kalaulah blogger ‘citra-bangsa’ yang mempertahankan Ketua Umno Bahagian Dungun dituduh ‘berapa juta pula dapat’, apakah pertanyaan dan tuduhan dari Zakwan2010 itu turut ditujukan kepada blogger ‘hambali1’, blogger ‘teganuku’ dan blogger ‘lesungbatu’ kerana turut menyiarkan tulisan dan komentar tersebut?

Jika Zakwan2010 menyifatkan Ahli Parlimen Dungun dan blogger Jailani Harun sebagai hero, saya ingin mengingatkan pembaca dan pelajar blog-blog ini bahawa ‘budaya masyarakat kita sebenarnya sudah jauh menyimpang’.

Mereka yang menabur fitnah, menyerang dan membuat tuduhan sering dianggap sebagai betul tetapi apabila ada yang mempertahankan diri dari serangan tersebut, maka akan datang pula satu tuduhan baru ‘berapa juta pula dapat’ dari mereka yang mungkin beranggapan fitnah bukan sesuatu kesalahan.

Yang memulakan isu ini ialah Jailani Harun dan Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh. Ketika posting itu dibuat, barangkali Ketua Umno Bahagian Dungun tidak berada di Malaysia kerana beberapa minggu yang lalu, akhbar-akhbar arus perdana melaporkan Datuk Dr. Rosli Mat Hassan yang juga Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) berada di Tokyo.

Sepatutnya, ketiadaan ketua bahagian itu tidak menjadikan mereka yang dari seseorang tidak bergelar YB kini sudah menjadi YB, bekerja lebih keras memperkukuhkan parti dan menjalankan kerja-kerja menjaga nama baik parti.

Jika ada rasa tidak puashati, atau timbul masalah pembangunan dan peruntukan, tidak bolehkah YB Ahli Parlimen Dungun membawanya ke dalam mesyuarat Umno bahagian dan bukan menceritakan kepada blogger atau penulis untuk menyiarkan tulisan yang tidak bertanggungjawab?

Amatlah malang bagi Zakwan2010 yang ‘menyerang’ saya kononnya ‘macamlah Terengganu selama ini tiada pembangunan langsung’ kerana saya tahu Terengganu pesat membangun hingga ada yang runtuh kerana ‘terlalu cepat membangun’.

Mustahil saya tidak tahu Terengganu pesat membangun kerana saya turut membaca akhbar, menonton TV dan kerap juga ke Terengganu walaupun tidaklah sekerap orang Terengganu pulang ke negeri asal mereka.

Oleh yang demikian, saya berharap sangat, berkata benarlah dalam apa juga keadaan walaupun kita tidak pernah mahu jujur ketika berkata-kata. Bila kita membaca tulisan yang kita rasa berbentuk mempertahankan diri, mulalah kita membuat tuduhan ‘berapa juta pula dapat’ sedangkan pertanyaan itu sepatutnya ditujukan kepada Jailani Harun dan Matulidi Jusoh ‘berapa juta pula dapat’ kerana menyerang Ketua Umno Bahagian Dungun.

Tiada ulasan: