Sabtu, 1 Mei 2010

Umno Hulu S'gor tak kecil hati dengan Dr M


oleh
Abdul Rahim Sabri

Umno Hulu Selangor tidak berkecil hati dengan pujian Tun Dr Mahathir kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang dikatakan berjaya meningkatkan sokongan masyarakat Melayu kepada BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, Ahad lalu.

"Pada kita PERKASA banyak menyedarkan orang Melayu tentang agama, bangsa dan negara. Pada saya, peranan PERKASA (di Hulu Selangor) sedikit sebanyak membantu (BN).

"Berdasarkan maklum balas, ramai yang datang mendengar ceramah mereka, terutama di kawasan Felda di Sungai Buaya. Bagi saya mereka membantu meningkatkan undi masyarakat Melayu. Komen Tun Dr Mahathir itu, betullah," kata ketua penerangannya Yusof Nawawi.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Yusof berkata beliau belum mendengar sebarang rungutan dari akar umbi Umno berhubung pujian Dr Mahathir kepada NGO Melayu itu.

"Siapa sahaja membantu (bagi mencapai kemenangan) BN di Hulu Selangor, kita terima," katanya ketika diminta mengulas pandangan Dr Mahathir terhadap sokongan Melayu kepada BN dalam pilihan raya kecil parlimen itu.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN P Kamalanathan menewaskan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.

Kamalanathan yang juga ketua penerangan Pemuda MIC mendapat 24,997 undi manakala Zaid memperolehi 23,272 undi.

Yusof berkata walaupun gagal mencapai sasaran majoriti 6,000 undi seperti yang disasasarkan, keputusan pengundian itu jelas menunjukkan peralihan sokongan orang muda dan pengundi Melayu di Felda.

Selain itu, tambahnya, peralihan sokongan pengundi India - yang dahulunya mengundi Pakatan Rakyat - turut membantu kemenangan BN di Hulu Selangor.

Bagaimapun beliau berkata pengundi yang berumur 50 hingga 60 tahun menunjukkan penurunan sokongan terhadap BN, terutama di kawasan DUN Hulu Bernam.

Ini kerana, tambahnya, golongan tersebut mudah terpengaruh dengan kempen pembangkang yang didakwanya menggunakan surau atau masjid bagi tujuan berkempen walaupun dilarang pihak berkuasa.

--malaysiakini

Tiada ulasan: