Ahad, 18 April 2010

Pengundi Hulu Selangor Mula Berubah Sikap - Muhyiddin

HULU SELANGOR, 18 April (Bernama) -- Pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor, yang akan mengundi untuk memilih ahli parlimen baru pada 25 April ini, pada zahirnya telah menunjukkan sikap positif terhadap Barisan Nasional (BN) berbanding dengan pilihanraya umum 2008, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kehadiran dan sikap terbuka mereka untuk mendengar penjelasan dari pemimpin BN mengenai isu-isu yang dibangkitkan juga menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk menerima parti kerajaan itu.

"Saya harap momentum ini akan dapat diteruskan dan diperkuatkan lagi. Kita akan tingkatkan aktiviti kita untuk baki enam hari sebelum hari mengundi," katanya kepada pemberita setelah penjumpaan dengan rakyat di Hulu Yam Timur, di sini, pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata jentera BN tidak akan mengambil mudah sentimen pengundi di kawasan ini tetapi akan terus berkempen untuk menawan semula kawasan parlimen ini, yang sebelum ini kubu kuat BN.

Ditanya mengenai tohmahan pembangkang yang mengatakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengalihkan nama seramai 13,400 pengundi ke kawasan lain, Muhyiddin berkata, dakwaan ini perlu dijawab oleh SPR sendiri.

"Saya tidak sedar akan perkara ini. Biar SPR yang buat penjelasan tetapi saya tidak fikir mereka akan membuat begitu (menukar pengundi). Pembangkang selalu suka membuat tuduhan melulu...perkara ini perlu dijelaskan oleh pihak SPR," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan oleh pembangkang juga, bahawa calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim akan diterima oleh orang Islam di Hulu Selangor berbanding orang Islam di Kota Baharu kerana mereka lebih terbuka, Muhyiddin berkata orang Islam di mana-mana pun sama sahaja.

"Islam adalah satu fahaman agama dan Islam sama sahaja dimana-mana. Harapan mereka sama sahaja. Saya serahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian masing-masing," kata Muhyiddin.

Bercakap mengenai isu APCO, beliau berkata kerajaan tidak berselindung mengenai hal ini dan telah memperjelaskan perkara tersebut berulang kali.

"APCO bukan syarikat Israel..ia adalah sebuah syarikat antarabangsa yang dibayar untuk mempromosikan negara kita. Mereka mahir dalam bidang tersebut dan kita membayar mereka untuk mempromosikan negara kita.

"Mereka tidak sentuh soalan dasar. Negeri pembangkang juga guna syarikat untuk menarik pelabur asing. Ini perkara biasa," katanya.

Beliau juga berkata tuduhan APCO adalah syarikat Israel adalah satu muslihat politik pembangkang kerana slogan 1Malaysia telah menjadi ancaman besar kepada mereka.

"Kerana 1Malaysia mendapat sokongan mereka mula menimbulkan syak wasangka. Inisiatif Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah untuk kebaikan negara bukan untuk dipolitikkan," katanya.

Katanya pengundi di Hulu Selangor telah menunjukkan petanda yang baik dan faham akan pendekatan Najib tidak seperti PKR dimana pemimpin parti itu sendiri kecewa dengan pemimpin mereka.

"The feel good factor sudah mula terasa, yang penting bukan slogan. Kita tidak boleh bandingkan 1Malaysia dengan 1Israel. Sebab ramai rakyat Malaysia sudah mula mengunakan slogan itu, pembangkang mula memutar belit isu ini untuk permainan politik mereka," kata Muhyiddin.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: