Rabu, 21 April 2010

Penduduk Sg Buaya mahu isu tanah diselesaikan

Selepas lebih 15 tahun menderita, penduduk Bandar Baru Sungai Buaya, terutama bekas peneroka di kawasan itu mahu pembinaan persimpangan bertingkat Sungai Buaya disegerakan.


Mereka mahu pihak terbabit sama ada kerajaan pusat, kerajaan negeri atau syarikat konsesi Lebuhraya Utara Selatan (Plus) tidak sekadar menabur janji semata-mata bagi meraih sokongan pada pilihan raya kecil kawasan Hulu Selangor, Ahad ini.

Ini kerana pembinaan persimpangan bertingkat yang dijadualkan bermula pada awal tahun depan akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu dan membolehkan pemaju baru mengambil alih kawasan itu, seterusnya menjelaskan pampasan tertunggak.

"Cukuplah derita kami...rumah dah tinggal tunggul, duit pun dah jadi abu," kata Jamaji Mohamed, 65, antara 363 peneroka asal Felda Sungai Buaya yang dibuka pada 1964 sebelum kawasan itu cuba dimajukan pada pertengahan 1990-an.


Kawasan seluas 1,240 hektar itu dimajukan syarikat berkepentingan peneroka Felda, Murna Jaya Development Sdn Bhd sejak 1994.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata di sini minggu lalu bahawa persimpangan itu yang akan menyediakan akses kepada lebih 100,000 pengguna di sekitar kawasan pembangunan Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan utara Rawang dijangka mula dibina pada suku pertama 2011.

Katanya, projek kerjasama antara Plus dan kementerian itu mengambil masa untuk dilaksanakan kerana ia membabitkan proses pengambilan tanah.

Dijanjikan RM1 juta tunai

Kerajaan negeri pada ketika itu (1994) meluluskan penukaran syarat Akta Tanah, Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 bagi membolehkan pemaju terbabit membangunkan kawasan itu, namun projek itu gagal dilaksanakan akibat kemelesetan ekonomi hujung 90an.


Jamaji berkata, peneroka dijanjikan bayaran RM1 juta dalam bentuk tunai atau rumah seorang sebagai pampasan, namun sehingga hari ini mereka hanya menerima tidak lebih RM270,000 dalam bentuk ansuran.

"Kami tuntut hak kami," kata Jamaji ketika ditemui di warung kopi berdekatan dengan medan selera Bandar Baru Sungai Buaya, kira-kira setengah jam memandu dari Kuala Kubu Baru, dekat Hulu Selangor tengahari ini.

Bagi peniaga ikan yang juga generasi kedua peneroka kawasan itu, Khairul Mohd Ahya, 49, majoriti penduduk di kawasan itu tidak mempedulikan isu nasional yang dibangkitkan parti bertanding.

"Kami tak peduli ceramah pasal isu luar seperti isu Apco, isu 1Malaysia dan lain-lain....yang penting siapa boleh selesaikan masalah pampasan tanah ini, kami sokong," katanya.


Pemaju kawasan terbabit dilaporkan gagal membayar pampasan itu berikutan krisis ekonomi pada 1997 selain terdapat dakwaan Murna Jaya yang dimonopoli beberapa individu di kalangan peneroka kawasan itu sendiri, berlaku tidak jujur.

Jamaji berkata, kes itu telah dibawa ke mahkamah oleh beliau pada 2002.

"Mahkamah kata tunggu tanah laku (dijual). Kalau buat 'interchange' mungkin tanah akan laku, jadi kita mahu semua pihak termasuk kerajaan negeri beri laluan supaya projek ini boleh dipercepatkan," katanya mewakili penduduk di kawasan itu.

Bagi Salim Musa, 53, beliau percaya projek itu akan membantu menyelesaikan isu terbabit dengan syarat Kerajaan Pusat Barisan Nasional (BN) dan kerajaan pakatan PKR-DAP-PAS di Selangor bekerjasama.

'Jangan janji saja'

"Harap mereka dapat bantu kami, bukan berjanji saja," kata Salim yang juga generasi kedua Felda yang kini bekerja sebagai pemandu "prebet sapu" di bandar Rawang bagi menampung keluarga.

Sebelum 1995, terdapat lima kawasan Felda di kawasan Hulu Selangor iaitu, Felda Sungai Buaya, Felda Soeharto, Felda Gedangsa, Felda Sungai Tengi dan Felda Sungai Tengi Selatan.

Peneroka kawasan Felda terbabit keluar daripada tanah rancangan itu selama 10 tahun sebelum kembali ke pangkuan Felda pada 2005 kecuali peneroka Felda Sungai Buaya yang menaruh harapan kawasan itu akan dibangunkan.

Ketika inilah, banyak tanah peneroka yang terjual dan tergadai kepada orang luar sehingga peneroka terbabit hidup dalam kesusahan di bawah paras kemiskinan sehinggalah dibantu kerajaan.

Namun sehingga hari ini, isu pampasan tanah itu masih belum selesai dan menghantui peneroka serta menjadi isu yang sering dipolitikkan setiap kali pilihan raya berlangsung, termasuk pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor minggu ini.

- Bernama

Tiada ulasan: