Sabtu, 17 April 2010

Isteri Calon BN Cuti Bantu Kempen Suami

HULU SELANGOR, 17 April (Bernama) -- S. Shobana, isteri kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan mengambil cuti sembilan hari semata-mata membantu suaminya berkempen.

Shobana, 38, yang merupakan seorang pengurus kanan perhubungan awam di sebuah pusat perubatan di Subang, akan mengiringi suaminya turun padang bagi setiap program yang diatur BN dalam usaha menyampaikan mesej kepada rakyat seterusnya memenangi sokongan pengundi bagi pilihan raya kecil kawasan itu.

Beliau yang menaruh sepenuh keyakinan suaminya akan memenangi kerusi itu berkata peribadi Kamalanathan yang 'bersih' dan kuat bekerja melayakkan diri untuk menjadi calon terbaik BN pada pilihan raya kecil 25 April ini.

"Beliau bijak, sangat merendah diri dan tiada kepentingan, beliau tidak tahu perkataan untuk menipu dan tidak bekerja tiada dalam kamus hidupnya," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baharu sini, pada hari Sabtu.

Ketua Penerangan MIC itu akan ditentang oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan dua calon bebas iaitu bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S. Chandran dan Johan Mohd Diah.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: