Sabtu, 24 April 2010

Hulu Selangor: BN Tiada Keperluan Untuk Berdebat Dengan PKR - Muhyiddin

HULU SELANGOR, 23 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tiada keperluan untuk berdebat dengan sesiapapun khususnya pihak pembangkang.

Beliau berkata debat merupakan taktik pembangkang sekaligus menunjukkan satu petanda bahawa mereka sudah tertekan.

"Kalau kita kata tak payah, dia kata kita penakut...kita sudah debat secara terbuka. Mereka di sebelah sana walaupun tiada platform yang sama dengan kita di sebelah sini, mereka kata A kita sudah jawab B, mereka kata C kita sudah jawab D," katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo 1Rela iaitu 1Platun, 1Kampung, 1Taman Perumahan di Kuala Kubu Baharu di sini Jumaat.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan calon BN P. Kamalanathan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin sendiri.

Debat yang dianjurkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menjemput Kamalanathan supaya berdebat dengan Zaid mengenai tajuk "Isu Keselamatan Negara" yang akan diadakan di Hulu Bernam Sabtu malam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata kerajaan BN sudah berbahas dengan pihak pembangkang dan memberi penjelasan yang tepat kepada pengundi.

"Bagi saya debat sudahpun berlaku dan jawab-menjawab penjelasan sudah kita buat, apa isu yang kerajaan tak bahas, dalam pilihanraya kecil, di Parlimen dan di mana-mana sesi pertemuan, yang penting adalah pengundi yang menentukan bukan saya, bukan Zaid," katanya.

Mengenai kenyataan tokoh DAP Lim Kit Siang yang mengakui calon PKR Zaid menghadapi laluan yang sukar berbanding lawannya Kamalanathan, Muhyiddin berharap agar doa Lim itu menjadi kenyataan.

"Saya doakan kenyataan beliau jadi realiti," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: