Sabtu, 20 Mac 2010

Polis: Jangan himpun di LTSM esok

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak dapat hadir menyertai perarakan di Kuala Terengganu esok anjuran badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyerahkan memorandum tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ini kerana beliau yang juga adalah Menteri Besar Kelantan, mempunyai urusan lain.

Sebaliknya, kata Nik Aziz rombongan Kelantan ke majlis itu akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.

Beliau sebelum itu, dalam ceramahnya mengajak rakyat Kelantan beramai-ramai menyertai perarakan di Terengganu itu esok.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis hari ini menasihati orang awam agar tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan itu yang dijadualkan esok di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata pihaknya tidak mengeluarkan permit untuk mana-mana pihak menganjurkan perhimpunan di LTSM, dan sebarang bentuk perhimpunan yang diadakan adalah bercanggah dengan Akta Polis 1967.

"Oleh yang demikian saya mengingatkan semua pihak bahawa polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menganjur atau mengambil bahagian dalam perhimpunan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Majlis Permuafakatan Rakyat (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti (Gegar) bercadang untuk menghimpun 10,000 orang bagi menyambut keberangkatan tiba Tuanku Mizan, dan menyerahkan memorandum bantahan isu royalti minyak kepada Seri Paduka.

(dipetik dari http://malaysiakini.com/)

1 ulasan:

C L J berkata...

Tak faham lah sikap puak puak nih.... Sekali tak hormat kepada kedudukan raja raja..... sekali pulak nak gunakan raja bagi mengatasi ketua eksekutif.

Hamba tak jumpa cari sistem politik fahaman mereka ini. Macam tak ada ideoligi politik jer.

Apakah itu petanda kaedah politik itu benar untuk memenangkan diri semata mata ???