Selasa, 23 Mac 2010

Orang lain boleh didakwa di mahkamah…orang ini tak boleh

"Mengambil tindakan dikatakan zalim, tak ambil tindakan, ini yang jadi.” – itu antara luahan rasa Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas,Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat Isnin melihat gelagat macam-macam Datuk Seri Anwar Ibrahim kebelakangan ini untuk memesongkan persepsi orangramai terhadap kes liwatnya termasuk pengedaran sejuta risalah serta surat yang turut dilampirkan laporan perubatan yang mendakwa beliau tidak bersalah dan dianiaya.

Berucap membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong beliau membangkitkan bagaimana para pemimpin lain yang pernah dihadapkan ke mahkamah seperti bekas Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Mokthar Hashim melalui proses mahkamah dengan penuh tenang.

"Jadi, orang lain boleh didakwa di mahkamah, orang ini tak boleh sebab kononnya dia tak bersalah...jadi, ini adalah hari yang amat mengaibkan,katanya.


Menurutnya kerajaan berada dalam keadaan serba-salah untuk mengambil tindakan terhadap Anwar.

“Mengambil tindakan dikatakan zalim, tak ambil tindakan, ini yang jadi. Jadi yang pentingnya macam mana nak betulkan persepsi atau pandangan rakyat mengenai perangai dan tindak-tanduk Ketua Pembangkang ini,”katanya.

Ibrahim menegaskan kerajaan perlu ambil langkah bagi memperbetulkan persepsi rakyat terhadap Anwar.

Katanya rakyat terutama orang kampung terpedaya apabila perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar sebagai tertuduh dijaja di seluruh negara.



Beliau hairan melihat ini semua berlaku kerana selama ini pihak pembangkang terutamanya beria-ia mahu melihat sistem kehakiman negara berjalan dengan baik tanpa diganggu gugat, telus dan dihormati oleh semua pihak sehingga Jawatankuasa Pelantikan Hakim dibentuk.



Serentak dengan itu Ibrahim mencadangkan supaya satu suruhanjaya diraja dibentuk bagi menyiasat tindak tanduk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengancam keselamatan negara atau membuka kertas putih berhubung perkara itu.

"Jadi, sudah cukuplah kalau kita kumpulkan tindak-tanduknya seperti yang didedah oleh Ahli Parlimen Bayan Baru mengenai Peristiwa 16 Sept, nama Agong, nama Ketua Turus Tentera diseret, kemudian cerita Apco yang menjadi heboh pagi ini yang didedah penafiannya oleh Ahli Parlimen Rembau, kemudian kaset yang mempergunakan tokoh agama iaitu Yusuf al-Qaradawi dan surat serta risalah yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen Machang," katanya.


Ibrahim berkata, tidak ada siapa yang melebihi undang-undang di negara ini, malah Malaysia mempunyai Mahkamah Khas untuk membicarakan kes-kes yang membabitkan Raja-raja Melayu.

"Sebab itu saya katakan wajar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja atau menjalankan inkues untuk menyiasat ataupun membuka kertas putih supaya kita dapat betulkan persepsi rakyat ini, betulkan fikiran rakyat ini, kononnya ketua pembangkang ini adalah satu tokoh yang cukup bersih, hebat dan dia sajalah yang dapat menyelamatkan negara Malaysia ini, orang lain tak layak jadi Perdana Menteri.

"Dan selagi mana dia tak dapat jadi Perdana Menteri, selagi itulah ianya menghantui rakyat Malaysia dan selagi itulah isu ini akan terus berlaku, dan saya tidak tahu bagaimanakah perjalanan mahkamah pada masa akan datang," katanya.

Beliau juga meminta kerajaan menyiasat pengedaran sejuta risalah serta surat yang turut dilampirkan laporan perubatan yang mendakwa Anwar tidak bersalah dan dianiayai dalam kes liwat yang membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Katanya perbuatan ini nyata menghina mahkamah.

Selain itu, terdapat kaset atau cakera padat yang mengandungi fatwa Yusuf al-Qaradawi yang dibuat di kediaman tokoh agama itu di Qatar yang mahu Saiful dirujuk di bawah qazaf mengikut Undang-undang Syariah kerana gagal mengemukakan empat saksi dalam pertuduhan liwat terhadap Anwar.

Ibrahim mencadangkan kerajaan mengambil langkah mempertemukan Saiful dengan Yusuf bagi membolehkan ulama terkenal itu mendapatkan gambaran sebenar mengenai kes itu.

Katanya tindakan Anwar turut menyaksikan campur tangan 50 anggota Parlimen Australia yang mendesak agar tuduhan liwat terhadap Anwar digugurkan.

Ibrahim berkata beliau telah mengutus surat kepada anggota Parlimen Australia Micheal Danby yang merupakan pengerusi jawatankuasa kecil hal ehwal luar negara bagi membantah campur tangan tersebut.

"Mengikut apa yang saya dapat dari website, Micheal Danby adalah dari bangsa Yahudi dan penyokong kuat Israel serta pejuang hak asasi golongan gay dan lesbian. Ini maklumat yang mungkin rakyat Malaysia terutama orang kampung tak tahu," katanya.-22/3/2010

(Dipetik dari http://agendadaily.com)

Tiada ulasan: