Sabtu, 20 Mac 2010

Ekoran Buku Kemelut Politik Terengganu:
Turun Naik Tak ikut Peraturan?

Oleh Zainal Yusof

TERIMA kasih Saudara Airman_1 yang membuat komen atas tulisan saya sebelum ini bertajuk Buku Kemelut Politik Terengganu : Kenapa Kecoh?.
Saya faham saudara mungkin tidak begitu senang dengan perlantikan Datuk Ahmad Said menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu yang menyebabkan saudara mengatakan turun naik tak ikut peraturan.
Bagi saya, politik ini penuh dengan permainan yang mustahil. Bayangkan, dalam politik mereka yang bertanding, menang tidak dilantik memegang jawatan tetapi mereka yang kalah, dilantik.
Ini peraturan apa?
Contoh paling mudah, berlaku pertandingan antara Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Yang menang Khairy Jamaluddin tetapi yang dapat jawatan, Mukhriz Tun Dr. Mahathir. Ini peraturan apa?
Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga begitu. Dia bertanding kerusi Naib Presiden Umno. Kalah teruk dia. Yang menang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.
Undi keempat tertinggi dan hampir-hampir menang kerusi Naib Presiden ialah Datuk Seri Mohamad Khalid Nordin. Malangnya, Mohamad Khalid tidak dilantik menganggotai MT Umno tetapi Rais, dilantik. Ini peraturan apa?
Kenapa dalam bab Datuk Ahmad Said di Terengganu, perlantikannya dikatakan tidak ikut peraturan?
Peraturan apa yang dimaksudkan? Adakah jika melantik Idris jadi Menteri Besar, ia ikut peraturan tetapi bila Idris tidak dilantik, ia tidak ikut peraturan?
Sukalah saya menyebut satu lagi contoh. Satu ketika dahulu, ada seorang Setiausaha Politik dibawa bertanding di peringkat DUN di Johor dan dalam masa yang sama, ada seorang Timbalan Menteri juga dibawa bertanding DUN. Bila tiba perlantikan Menteri Besar, bukan bekas Timbalan Menteri yang dilantik menjadi MB tetapi bekas Setiausaha Politik itu yang dilantik menjadi Menteri Besar.
Ini namanya peraturan?
Dulu, ada tiga Menteri dibawa bertanding di peringkat negeri.Semuanya disebut bakal menjadi Menteri Besar. Ingatkah peristiwa itu. Tiga Menteri itu ialah Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor (Terengganu), Tan Sri Napsiah Omar (Negeri Sembilan) dan Tan Sri Sanusi Junid (Kedah).
Bila sampai masa perlantikan, ketiga-tiga bekas Menteri ini hanya disenaraikan sebagai Exco. Kesemua mereka, kecuali Sanusi menerima perlantikan tersebut.
Tidak lama kemudian, Sanusi dilantik menjadi MB Kedah menggantikan Tan Sri Osman Aroff tetapi Dr. Mohd Yusof Noor dan Napsiah, tidak menjamah kerusi Menteri Besar sampai berakhir karier politik mereka.
Ini juga peraturan? Kenapa peraturan ini terpakai di Kedah tetapi tidak di Terengganu dan Negeri Sembilan?
Bagi saya, tempoh dua tahun Datuk Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sudah cukup membuktikan bahawa kita kenalah belajar menerima hakikat, ketika kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi rancangan Allah paling tepat dan betul.
Datuk Ahmad Said tidak pernah menyusun ketua-ketua bahagian semuanya perlu bertanding di peringkat Parlimen dan ada yang digugurkan. Yang menyusun semua ini adalah Datuk Seri Idris Jusoh.Idris menjangkakan dia akan bertambah kukuh dengan ketiadaan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus dan Ketua Umno Bahagian Setiu kerana mereka bertanding di peringat Parlimen.
Idris juga tentunya merasa lega kerana Ketua Umno Bahagian Dungun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu digugurkan dari bertanding dalam PRU 12 yang lalu. Dalam masa yang sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu sudah dilantik Perdana Menteri menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri melalui kerusi Senator.
Rancangan Idris ini tersusun dan memang jelas, dia akan menjadi Menteri Besar dari segi logic akal. Namun, perancangan Idris tidak mampu mengatasi perancangan Allah. Ketua Umno Bahagian Kemaman rupa-rupanya ada di celah-celah DUN dan akhirnya Datuk Ahmad Said yang ditekan kiri dan kanan, difitnah atas dan bawah akhirnya bergelar YAB walaupun ada ADUN yang menjadi balaci Idris cuba mahu mengoncang pintu pagar istana.
Saya percaya Idris sudah boleh menerima hakikat yang dia bukan lagi Menteri Besar Terengganu. Itulah sebabnya, Idris dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar komuniti mengatakan dia hanya menumpukan tugasnya di Besut sahaja dan tidak mahu ambil tahu hal Negeri Terengganu keseluruhannya.
Maknanya, dari segi tafsiran di luar, Idris masih ingin ambil tahu tetapi disebabkan sudah tidak diberikan peranan dan jawatan maka dia tidak mahu bertindak sebagai orang yang masih berjawatan dan masih berperanan.
Dari satu segi, Idris tahu dan sedar siapa dirinya sekarang tetapi dari satu sudut lain, ada yang memberitahu Idris pernah menganjurkan perjumpaan dengan orang ramai di beberapa tempat di Terengganu untuk membelasah kepimpinan Datuk Ahmad Said.
Jika ini betul-betul berlaku, Idris bolehlah digelar sebagai ‘gila talak’. Begitu juga dengan kisah bekas Setiausaha Politiknya yang didakwa di mahkamah sekarang – walaupun bukan Idris yang menyuruhnya melakukan kerja-kerja itu tetapi sedikit sebanyak ia mengotorkan nama dan imej Idris.
Saya berharap Saudara Airman_1 dapat menerima hujah ini tetapi jika masih ada perasaan tidak puashati, saya memberi laluan kepadanya untuk menulis dan berpolemik di blog ini. Hantar sahaja artikel atau komen kepada saya di citra_bangsa@yahoo.com. Insyaallah, jika sesuai, saya akan siarkan dan membuka peluang untuk penulis-penulis lain turut membuat komentar masing-masing.

1 ulasan:

Unknown berkata...

salam saudara zainal,
terima kasih diatas jawapan saudara yg ditujukan khas kepada saya ini, saya tidak mnjangka coretan pendek saya telah mendapat perhatian, saudara zy mistilah penyokong kuat kpd das dan penentang dij dan juga seorang blogger penyokong umno. oleh kerana jawapan tuan ditujukan kpd saya trpaksalah saya menjelaskan sedikit kedudukan sebenar, saya bukan penyokong mana pihak saya orang awam rakyat biasa bukan pun orang "ganu kita" dan saya juga ingin memberi tahu bahawa saya adalah penyokong umno tapi bukan ahli mana2 parti politik ,saya mnyokong umno bukan kerana ianya pilihan yg baik tapi kerana ia merupakan parti yg terbaik dari semua yg terburuk. sekian,terima kaseh