Jumaat, 19 Mac 2010

Buku Kemelut Politik Terengganu : Kenapa Kecoh?

Oleh Zainal Yusof



PAGI Jumaat, 19 Mac 2010, saya menerima panggilan telefon dari seorang kenalan. Kenalan saya ini orang Terengganu yang berminat dengan perkembangan politik negeri kelahirannya itu.
Katanya, ada sebuah buku tersebar di Terengganu sekarang. Dia hairan mengapa buku itu diterbitkan kerana keadaan politik di Terengganu kini sudah tenang dan tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.
Saya menjawab; kenapa kecoh bila ada penulis menulis dan ada penerbit menerbitkan buku politik?
Sebenarnya, jangan siasat siapa yang menulis dan siapa yang menerbitkannya kerana yang patut disiasat ialah siapa yang selama ini menyerang Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said secara baling batu sembunyi tangan?
Kenapa tidak menyiasat siapa yang menghantar SMS palsu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengatakan Menteri Besar akan meletakkan jawatannya!
Kecoh kerana mereka merasakan mereka diserang. Tetapi mereka langsung tidak peduli jika Menteri Besar diserang.
Kecoh apabila ada orang mempertahankan Menteri Besar tetapi mereka tidak langsung kecoh kalau ada blog yang sejak mula lagi menyerang, memfitnah, menghina dan memperlekehkan Menteri Besar.
Salah satu blog yang boleh saya sebutkan di sini ialah http://jaranganakmelayu.blogspot.com yang mana bloggernya dikenali dengan nama Abd Mubin Ismail. Kenapa tidak kecoh? Kenapa tiada siapa menyerang Abd Mubin? Kenapa Abd Mubin boleh menjadi penulis atau blogger yang begitu kebal?
Sebenarnya, dalam hidup ini kita kena faham erti siang dan malam. Erti putih dan hitam dan erti turun dan naik. Jika Abd Mubin Ismail menyerang Menteri Besar, kenapa kita tidak boleh meneirma Zainal Yusof mempertahankan Menteri Besar?
Siapa Abd Mubin tentulah diketahui oleh orang Terengganu. Siapa Zainal Yusof tentulah di kalangan blogger tahu kerana blog ini sudah wujud sejak enam bulan yang lalu dan antara yang menjadi penulis di blog ini termasuklah saya, Hassan Md Hussein (Sandakan), Malek Saiful Muda dan ramai lagi.
Oleh itu, saya mengharapkan sesiapa sahaja yang dapat membeli dan memiliki (termasuk meminjam) buku Kemelut Politik Terengganu, bacalah dengan tenang, dada terbuka dan berlapang kepala.
Jika ada hujah yang tidak betul, perbetulkanlah. Jika ada yang terasa, maafkanlah tetapi jika ada yang memang tidak dapat menerima hujah ini, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana orang kita, mereka hanya mahu percaya apa yang mereka mahu percaya sahaja dan mereka hanya mahu mendengar apa yang mereka mahu dengar sahaja.
Mereka tidak akan percaya sesuatu kebenaran jika yang membawa perkara itu bukan dari kalangan klik mereka. Mereka tidak akan mahu mendengar jika yang bercakap itu bukan dari kalangan kawan-kawan mereka.
Manusia seperti ini bukan sahaja berada di Terengganu sahaja tetapi di seluruh Malaysia. Bagi saya, saya akan terus menulis kerana saya mempunyai hujah yang hendak disampaikan.
Begitu juga dengan orang Umno, mereka akan seronok mendengar cerita dari kalangan pemimpin mereka tetapi mereka tidak akan mahu menerima cerita jika ianya datang dari kalangan pemimpin lain dari Umno.
Di kalangan orang Pas juga begitu, mereka hanya percaya jika kuliah agama datangnya dari guru-guru agama mereka. Mereka tidak Nampak jalan ke Syurga datangnya dari kalangan orang lain melainkan orang-orang Pas.
Di Terengganu kini, masih ada segelintir orang yang hanya percaya Kerajaan Negeri Terengganu hanya boleh dipimpin oleh Datuk Seri Idris Jusoh. Orang lain tidak boleh. Jika bukan Idris Jusoh menjadi Menteri Besar, nanti bumbung stadium runtuh, bumbung lapangan terbang runtuh dan bumbung sekolah runtuh.
Mereka yang pro Idris ini akan katakan bahawa hanya pemimpin dari Besut sahaja yang pandai tetapi orang dari Kemaman, Setiu, Kuala Nerus dan Marang tidak pandai. Ini pendirian mereka yang taksub kepada Idris.
Mereka tidak peduli, bumbung stadium runtuh kerana pentadbiran Idris tidak cekap dan perlantikan kontraktor dibuat secara tidak professional. Sebaliknya mereka beranggapan bahawa keruntuhan itu berlaku kerana Idris tidak dilantik menjadi Menteri Besar.
Idris sendiri dikatakan tidak berminat menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu ketika Datuk Ahmad Said menjadi pengerusinya kerana dia dianggap sebagai tidak mengikhtiraf Datuk Ahmad sebagai ketuanya.
Ada suara-suara nakal mendakwa, Idris masih beranggapan dia sahajalah yang layak menjadi Menteri Besar Terengganu. Namun, Idris tidak pula pernah mengatakan hal ini secara terbuka.
Kepada semua pembaca buku Kemelut Politik Terengganu, bacalah dengan penuh ketenangan dan jika ada yang tidak kena pada hemat pembaca semua, hantarkan komen kepada citra_bangsa@yahoo.com untuk disiarkan di blog ini.

2 ulasan:

Unknown berkata...

salam,
prkara ni trjadi mudah saja ianya disbbkan turun naik nya mereka2 ini tidak mengikut aturan mengikut aturan demokrasi, tu saja

Tanpa Nama berkata...

Zaman pemimpin berjiwa bangsa, sebagai pejuang bangsa telah berlalu..... kini digantikan dengan pemimpin politik semata2.