Rabu, 10 Februari 2010

Tiada Peluang Untuk Saya Bergembira - MB Perak

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Bagi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, keputusan Mahkamah Persekutuan Selasa yang mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah bermakna jadual hariannya semakin padat dan tiada masa untuk beliau berseronok.

Dr Zambry berkata, walaupun gembira beliau tetap tidak dapat meraikannya secara mutlak kerana tugasannya bertambah padat sejurus keputusan diumumkan.

"Bukannya masa untuk berseronok-seronok...selepas keputusan itu saya terpaksa berjumpa dengan berbagai orang. Malah berterusan sehingga lewat malam. Semuanya berkenaan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sebuah hotel terkemuka di sini, Rabu.

Pada hari Selasa, Mahkamah Persekutuan memutuskan pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah sah dan menolak rayuan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Dr Zambry bagi menggantikan Mohammad Nizar daripada pakatan DAP-Pas-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Dr Zambry berkata, bermula Selasa, setelah selesai menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri, beliau terpaksa bergegas kembali ke hotel penginapan untuk bertemu dengan beberapa pelabur yang berminat untuk melabur di negeri Perak.

"Ini merupakan satu perkembangan yang menarik. Semalam di sini (hotel penginapan) saya berjumpa beberapa bakal pelabur dalaman (dalam negara) yang berminat untuk datang ke Perak. Syukur, keyakinan di kalangan pelabur bertambah baik," katanya.

Tugasan hari pertama beliau selepas keputusan mahkamah adalah mengiringi Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-220 di Istana Negara pagi ini.

Walaupun sibuk dengan acara itu, selaku Menteri Besar beliau terpaksa juga mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri seperti lazimnya.

Tepat pukul 3 petang, bertempat di sebuah hotel di tengah-tengah ibu kota beliau bersama enam anggota exco kerajaan negeri memulakan mesyuarat berkaitan perjalanan pentadbiran kerajaan, mesyuarat kali pertama selepas keputusan mahkamah menetapkan beliau sebagai menteri besar yang sah.

Mesyuarat selama satu setengah jam itu berakhir dengan majlis sidang akhbar sambil beliau merakamkan rasa syukur atas keputusan mahkmah dan mengajak seluruh rakyat negeri Perak melupakan peristiwa pahit sebelum ini dan bersama-sama membantunya membangunkan negeri Perak.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: