Selasa, 9 Februari 2010

MB Kedah Minta Semua Pihak Terima Keputusan Kekal Zambry Sebagai MB

ALOR SETAR, 9 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak Selasa meminta semua pihak menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, para penyokong pakatan pembangkang khususnya di Perak tidak harus mempertikaikan keputusan mahkamah dan menerimanya daripada aspek undang-undang "Tak pa lah, itu kerja mahkamah, kita berharap ia adalah satu keputusan yang adil dan saya tiada apa yang nak komen kerana mahkamah telah buat kerja dia dan Zambry adalah menteri besar yang diumumkan oleh mahkamah," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Azizan berkata, Kedah juga sedang menunggu satu keputusan mahkamah mengenai kedudukan kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh dan mengharapkan satu keputusan yang adil juga.

Kota Siputeh kini menjadi perhatian sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap status Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarip sama ada akan kekal sebagai wakil rakyat kawasan DUN itu atau pilihan raya kecil diadakan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Mohammad Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu.

Katanya apa yang penting ialah perkara itu perlu dirujuk ke "mahkamah rakyat" untuk membuat keputusan siapakah layak untuk memimpin negeri Perak.

Anwar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini di mana beliau sedang menghadapi kes perbicaraan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ditanya apakah nasihat beliau kepada penyokong pakatan pembangkang terutamanya di Perak, beliau meminta mereka menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan jentera parti masing-masing dan menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.

Di PULAU PINANG, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu kecewa dengan keputusan mahkamah itu yang disifatkan bercanggah dengan prinsip asas demokrasi iaitu kerajaan perlu dipilih oleh rakyat.

Beliau berkata mana-mana kerajaan yang mendapat mandat tidak melalui undi secara langsung adalah melanggar prinsip demokrasi kuasa rakyat.

Sehubungan itu, DAP mengulangi gesaan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dan mengembalikan kuasa kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri yang baru, katanya dalam satu kenyataan.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan mahkamah itu.

Beliau berkata keputusan itu adalah bertentangan dengan moral Islam kerana bukannya ditentukan melalui pilihan raya negeri.

"Saya minta rakyat protes walaupun tidak dengan demonstrasi tapi cukup dengan rasa benci terhadap keputusan itu," kata Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita di sini, hari ini.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: