Rabu, 17 Februari 2010

KELUAR PARTI, LETAK JAWATAN?

Apabila ada Ahli Parlimen atau ADUN yang keluar parti, adalah orang yang kata, "Letak jawatan!" Adakah kenyataan ini lahir dari kejahilan mengenai sistem politik dan proses pilihanraya itu sendiri? Atau, ia disebabkan terlalu emosional kerana kecewa dan tidak dapat menerima hakikat bahawa Ahli Parlimen atau ADUN itu hilang keyakinan kepada sesebuah parti politik lalu memilih untuk keluar.

Dalam pilihanraya, pengundi memilih calon (bukannya parti politik) untuk mewakili mereka. Sebab itulah seseorang boleh bertanding dalam pilihanraya tanpa parti politik; iaitu bertanding sebagai calon Bebas. Ramai calon Bebas menang pilihanraya. Tak ada sokongan parti politik pun, rakyat memilih mereka.

Sewaktu perbahasan dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, mereka dikenali dengan nama kawasan yang diwakili. Di Dewan Rakyat, Dato' Seri Zahrain Mohamed Hashim dikenali sebagai "YB Bayan Baru."

Ertinya, pilihanraya ialah satu proses memilih individu bagi membawa suara rakyat dalam sesuatu kawasan ke dewan legislatif. Dalam proses pilihanraya, rakyat memberikan hak kepada wakil rakyat itu untuk membuat keputusan bagi pihak mereka. Hak itu terpakai dari tempoh pemilihan sehinggalah ke satu tempoh pilihanraya akan datang.

Ada orang kata, dia perlu letak jawatan kerana dia menang dengan sokongan sesebuah parti. Ini hujah dangkal.

Apa yang berlaku dalam proses pilihanraya ialah sesebuah parti itu memilih seseorang calon disebabkan kehebatan yang ada padanya (apa sekali pun kehebatan itu); kecualilah parti itu sekarang berkata ia tersalah memilih calon dan meletakkan calon-calon yang tidak mempunyai kredibiliti dalam pilihanraya. Bukan seorang, tetapi ramai. Kalau itulah keadaannya, maka dalam pilihanraya akan datang rakyat tolak sajalah parti itu kerana ia gagal memberikan calon-calon terbaik kepada pengundi!

Sekiranya kita ingin berpolitik secara matang, konsep ini harus difahami dan dihormati. Usah bercakap meminta orang menghormati kita sekiranya kita sendiri tidak belajar menghormati sistem dan proses itu sendiri.

Oh ya, apabila seseorang Ahli Parlimen atau ADUN diura-urakan akan meletakkan jawatan, maka bermulalah serangan peribadi (character assassination) kepadanya. Orang yang selama ini dtampilkan sebagai putih melepak, tiba-tiba dipamerkan sebagai hitam melegam. Aneh.

Itulah cara berpolitik yang kita faham. Walaupun bergegar bercakap soal perubahan kepada "politik baru", nampaknya sebahagian besar kabilah politik di negara ini (tanpa mengira apa sekali mazhab politik), masih tidak mahu berubah!

( Dipetik dari http://nobisha.blogspot.com/ )

Tiada ulasan: